Tukang jahit OKU terima banyak tempahan menjelang Syawal

Tukang jahit OKU terima banyak tempahan menjelang Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketibaan Ramadan disusuli Syawal tidak lama lagi sangat dinantikan seorang tukang jahit yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana rezekinya meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tersebut.

Mohd. Alamin Jais, 51, yang cacat kedua-dua belah tangan tiada jari sejak lahir, menawarkan khidmat jahitan di tingkat atas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, sejak 20 tahun lalu.

Setiap kali Ramadan dia memperoleh rezeki berganda kerana ramai menghantar seluar jeans untuk diubah suai sama ada dikecilkan, ditampal,dijahit semula kerana koyak atau dipotong kerana labuh.

“Kalau hari biasa macam sekarang, nak dapat seorang pelanggan pun susah tetapi untuk Ramadan, biasanya pelanggan akan datang hingga 10 orang setiap hari.

“Bulan-bulan biasa, pendapatan saya hanya kira-kira RM500, memang tak cukup nak tanggung hidup dengan isteri dan lima anak berusia tujuh tahun hingga 19 tahun.

“Alhamdulillah kerana saya dapat bantuan bulanan sebanyak RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), cukuplah untuk belanja kami sekeluarga dengan amalan berjimat-cermat,” katanya di sini semalam.

Mohd. Alamin yang tinggal di Kampung Belukar Sukai dekat Kepong di sini berkata, dia teruja menantikan kedatangan Ramadan kerana sepanjang bulan mulia itu memberinya ruang memperoleh pendapatan hingga RM100 sehari hasil tempahan jahitan seluar jeans pelanggan.

“Duit itulah yang saya simpan untuk persiapan menyambut Aidilfitri dengan keutamaan diberi kepada anak-anak,” ujarnya.

Bagi meningkatkan lagi kemahiran jahitannya, Mohd. Alamin berkata, dia turut mengikuti pelbagai kursus jangka panjang dan jangka pendek di bengkel JKM di Pulau Kerengga, Marang sejak berusia 19 tahun.

“Saya tidak mahu OKU dianggap sebagai golongan yang lemah dan hanya mengharapkan bantuan dari pihak lain. Sebab itu, saya mencari rezeki sebagai tukang jahit untuk menyara keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya