BAYAN LEPAS: Seorang wanita melecur kira-kira 60 peratus pada bahagian badan dan muka selepas tong gas di rumah sewanya di Flat Taman Sri Bayu, di sini dikatakan meletup dalam kejadian awal pagi tadi.
Mangsa berusia 54 tahun itu berjaya diselamatkan oleh jirannya sebaik menyedari kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi.
Ketika kejadian, mangsa yang hanya menyewa bilik di kediaman itu dikatakan berada seorang diri.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihkanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian didapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah.
“Terdapat seorang mangsa wanita melecur hampir 60 peratus pada badan dan muka. Kebakaran terlebih dahulu dipadamkan oleh jiran mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Operasi berjaya dikawal pukul 10 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN