TLHT tewas 2-1 di tangan Young Tigress  - Utusan Malaysia

TLHT tewas 2-1 di tangan Young Tigress 

PEMAIN TLHT, Nur Atira Mohamad Ismail (tengah) diasak oleh pemain Young Tigress pada aksi Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2023 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang tadi.- UTUSAN/PUTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mensia-siakan kelebihan beraksi laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Young Tigress dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL), sebentar tadi.

Aksi di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu menyaksikan pelawat mula mendahului menerusi pukulan ‘reverse’ Siti Nur Irdina Mohd. Nor pada minit ketujuh.

Kedua-dua pasukan kemudian bertukar serangan namun usaha pemain TLHT, Nur Atira Mohamad Ismail tersasar sebelum percubaan Azmyra Mia Sofea Azhairy pula dinafikan penjaga gol tuan rumah.

Skuad Young Tigress semakin garang selepas pemain negara, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin (m-33) menyudahkan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tuan rumah yang kian tertekan berjaya mengurangkan defisit gol melalui pukulan sudut penalti Fazila Sylvester Silin pada minit ke-46 dan jaringan itu memberi tonik buat tuan rumah.

Kebangkitan yang cuba direncana TLHT tidak membuahkan hasil setelah hantaran Fazila pada minit ke-56 gagal disempurnakan Qasidah Najwa Muhammad Halimi.

Peluang terbaik tuan rumah menyamakan kedudukan menjelma dua minit sebelum tamat namun pukulan sudut penalti Fazila diselamatkan penjaga gol Young Tigress, Fitrinur Amiera Ramlee.

Kemenangan 2-1 itu membolehkan anak-anak buah Lailin Abu Hassan mendahului carta MHL kategori wanita dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya