Tinggalkan Jeneri, Mahfuz cabar Sanusi bertanding di Derga, Kota Darul Aman

Tinggalkan Jeneri, Mahfuz cabar Sanusi bertanding di Derga, Kota Darul Aman

MAHFUZ OMAR dan MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dicabar untuk meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dan bertanding di Derga atau Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memperlihat dirinya sebagai seorang Menteri Besar yang memiliki sokongan secara menyeluruh daripada rakyat Kedah.

Katanya, Muhammad Sanusi tidak seharusnya gentar berbuat demikian kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri membuktikan beliau diterima rakyat apabila menang di Permatang Pauh, Port Dickson dan Tambun.

“Muhammad Sanusi yang dianggap sebagai hero Melayu kerana melawan DAP dan menuduh parti itu macam-macam eloklah bertanding di DUN Derga atau Kota Darul Aman bagi ‘menyelamatkan’ orang Melayu di dua DUN tersebut yang kini dikuasai DAP.

“Perdana Menteri juga sebelum ini membuktikan kredibiliti beliau sebagai pemimpin berkalier apabila tetap diterima rakyat walaupun berdepan pelbagai tuduhan fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat PH Kedah, di sini, hari ini. 

Beliau mengulas ‘tawaran’ Muhammad Sanusi baru-baru ini untuk Mahfuz kembali bertanding dalam salah satu DUN di Kedah setelah bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu tewas dengan majoriti lebih 31,000 undi di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan kembali bertanding dalam PRN nanti, Mahfuz menjawab beliau sendiri belum tahu apa yang akan berlaku setakat ini.

“Sebelum ini kita jangka PRN dan PRU akan diadakan serentak jadi saya telah disenaraikan untuk bertanding Parlimen dan ada orang lain dinamakan bagi kawasan DUN. 

“Kita ada banyak bakat untuk diketengahkan sebagai pelapis dan mereka ini akan diberi ruang untuk membina bakat kepimpinan masing-masing,” katanya. 

Dalam pada itu Mahfuz berkata, Muhammad Sanusi jelas risau terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH apabila membuat pelbagai andaian termasuk kononnya akan berlaku perpecahan antara mereka semasa pengagihan kerusi.

“Sebenarnya selepas PRU lalu, mereka amat berharap agar BN bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan tetapi perkara itu tidak berlaku. 

“Sebab itu sekarang mereka harap perpecahan antara BN dan PH. Tetapi saya percaya kedua-dua gabungan ini memiliki kepimpinan sangat baik serta berpengalaman dan kami akan dapat membuat keputusan yang diterima semua pihak,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya