ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan kerajaan negeri tidak membincangkan sebarang perkara mengenai kemungkinan mengharamkan penayangan filem bertajuk ‘Pulau’ di Kedah, setakat ini.
“Saya belum ada perbincangan lagi berkaitan perkara itu. Tetapi sebagai orang yang mempunyai kuasa terhadap pusat tayangan dan pawagam, mungkin ada pihak yang ambil tindakan dari sudut itu.
“Di Kedah, kerajaan negeri belum bincang apa-apa lagilah,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di sini, hari ini.
Beliau ditanya sama ada kerajaan negeri sudah membincangkan perkara tersebut setelah tayangan filem itu diharamkan di semua pawagam Terengganu.
Melalui sidang akhbar yang diadakan secara maya kelmarin, penerbit filem itu, Fred Chong menyifatkan keputusan kerajaan Terengganu itu menimbulkan kebimbangan kerana boleh mempengaruhi negeri lain untuk mengambil tindakan sama.
Justeru, Fred berhasrat untuk membuat rayuan dan mahu menayangkan filem tersebut kepada wakil kerajaan negeri agar penilaian boleh dibuat terhadap filem tersebut.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak ambil peduli mengenai kemunculan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Anti Sanusi (GAS) di laman sosial TikTok yang mengkritik dirinya serta kepimpinan negeri.
Katanya, tindakan kumpulan berkenaan yang hanya bersuara di sebalik poster tanpa mendedahkan identiti masing-masing sudah cukup untuk membuktikan betapa mereka itu pengecut dan bacul.
“Saya fikir ini cuma permainan politik saja dan saya tak peduli pun. Ini permainan politik, maka selesai di medan politik sajalah kecuali kalau mereka melampau dengan fitnah, maka kita tengoklah (dari sudut perundangan).
“Kalau kita nak bercakap dalam politik dan merasakan kita bangkitkan perkara yang benar, tampil dengan berani. Tetapi kalau gambar dan muka pun ‘tadak’, itu semua pengecut dan orang bacul yang cuba melontarkan pandangan dalam politik tanpa ada keberanian,” katanya.
Justeru katanya, orang sebegitu tidak seharusnya bermain politik kerana politik memerlukan individu yang berani tampil dengan hujah, idea dan pandangan sendiri.
“Kalau tak berani, tak payahlah main politik. Lebih baik main benda lain seperti congkak atau batu seremban,” katanya. –UTUSAN