KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan.
“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih 5 peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Sebaliknya katanya, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.
“Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah dan segala yang mewah, semua harus dicukai,” katanya.
Selaras amalan terbaik antarabangsa, katanya, kerajaan juga akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.
“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya. – UTUSAN