The Glory: Apabila mangsa buli balas dendam - Utusan Malaysia

The Glory: Apabila mangsa buli balas dendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBIKIN drama Korea Selatan sentiasa tampil dengan idea di luar kotak sehingga berjaya mencuri tumpuan penonton seluruh dunia, termasuk di platform penstriman, Netflix. 

Drama bersiri The Glory musim pertama yang disiarkan lapan episod sejak 30 Disember lalu adalah naskhah luar biasa. 

Persoalan yang menjadi topik perbualan harian masyarakat menjadi subjek utama drama yang menggarap tema buli menerusi watak utama lakonan Song Hyekyo iaitu Moon Dong Eun. 

Penonton dihidangkan bagaimana buli yang dianggap perkara remeh dan kecil bagi segelintir pihak akan menjadi ‘barah’ dan sangat bahaya kepada sistem sosial masyarakat. 

Drama ini menggambarkan darjat hidup masyarakat bagaimana anak orang kaya bebas membuli pelajar miskin. 

Pelakon utama naskhah ini dipukul, ditumbuk, dilekatkan alat pelurus rambut yang panas di seluruh anggota badan serta pelbagai bentuk buli fizikal dan mental lain. 

Kesan di tubuh Dong Eun menyebabkan dia sentiasa memakai baju dan skirt labuh bagi menutup parut kekal yang menghinggap fizikalnya. 

Buli bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal terhadap mangsa, bahkan menyebabkan kecederaan emosi berpanjangan. 

Kesakitan yang berlarutan itu menyebabkan Dong Eun cuba membunuh diri, namun tindakan tersebut terhenti selepas dia berubah fikiran ketika mahu terjun bangunan. 

Lebih ironik, Dong Eun sudah membuat aduan kepada pihak sekolah, namun ia tidak diendahkan. Malah, dia pula dipukul oleh guru yang sepatutnya membantu nasib remaja itu. 

Pengarah, Ahn Gil-Ho membuatkan penonton lebih sakit hati dan bertambah geram menerusi babak seterusnya. 

Seorang ibu yang merupakan talian hayat terakhir buat seorang anak tidak memilih untuk melindungi zuriatnya sendiri, sebaliknya lebih rela dirasuah oleh ibu si pembuli. Keperitan, kesakitan dan kezaliman terpaksa ditanggungnya sendirian apabila segala aduan Dong Eun tidak disiasat kerana ‘duit’ menutup segala-galanya. 

Bagaikan kaca terhempas ke batu, begitulah luluhnya hati Dong Eun sehingga dia nekad keluar rumah dan berkelana melakukan pelbagai kerja rencam seperti bekerja di restoran dan kilang. 

Pun begitu, minatnya terhadap pelajaran tidak pernah padam. Dia belajar bagi menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti.

BALAS DENDAM 

Wajah polos dan sentiasa menyembunyikan emosi dalamannya menjadikan Dong Eun sebagai watak yang sangat tabah, tidak mempunyai perasaan dan bersemangat waja. 

Usaha Dong Eun tidak sia-sia apabila dia berjaya masuk universiti yang diidamkan bagi membalas dendam. Mangsa buli akhirnya bertukar menjadi pembuli. 

Sasaran Dong Eun hanya pembuli yang menghancurkan zaman remajanya. Episod balas dendam dirancang dengan teliti dan mengambil masa berpuluh tahun. 

Dong Eun sangat penyabar dan memiliki mental yang kuat kerana setiap langkah yang diatur ketika di universiti, diapit bersama perancangan rapi. 

Di gedung ilmu itu, Dong Eun memulakan pembalasan dendam pertama melalui anak lelaki guru sekolah yang memukulnya ketika dia mengadu dibuli. 

Dong Eun berjaya menjerat anak lelaki guru tersebut sehingga jatuh cinta. Selepas menggenggam segulung ijazah dalam bidang pendidikan, episod balas dendam Dong Eun semakin rancak. 

Sasaran seterusnya ialah Park Yeon Jin dan rakan-rakannya yang sudah berkeluarga dan berjaya dengan karier masing-masing. 

DAM TRADISIONAL 

Menerusi drama ini, penonton akan melihat betapa bijaknya produksi Korea Selatan memperkenalkan permainan dam tradisional yang dikenali sebagai ‘Go’. Go adalah sebuah permainan papan berstrategi untuk dua pemain yang ditonjolkan pelakon utama, dibantu kerja produksi yang begitu teliti. 

Tidak sabar melihat Dong Eun membalas dendam terhadap manusia berhati ‘syaitan’ menerusi sambungan bagi musim kedua pada Mac ini. 

Drama ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Lee Dohyun, Lim Ji-yeon, Park Sung-hoon dan Jung Sung II.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya