KUANTAN: Kerajaan diminta menetapkan harga lantai buah tandan segar (BTS) sawit RM800 satu metrik tan bagi memastikan harga komoditi itu tidak jatuh di bawah paras tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, jika harga BTS di bawah paras itu, peneroka tanah rancangan Felda secara automatik berada dalam kategori miskin tegar.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja jutaan ringgit bagi menyalurkan bantuan kepada peneroka dalam kategori terbabit.
Jelasnya, jika musim berbuah dalam tempoh enam bulan pertama, purata hasil sawit diperoleh peneroka Felda antara lima ke tujuh metrik tan sebulan dengan pendapatan kasar kira-kira RM5,600 sekiranya harga BTS RM800 satu metrik tan.
“Dengan jumlah itu, apabila ditolak hutang bayaran tanam semula, hutang ladang termasuk pinjaman perumahan, baki yang tinggal untuk peneroka RM2,500 hingga RM3,000. Itu belum ditolak bayaran bil elektrik dan air, kos perbelanjaan anak sekolah dan bayaran kereta serta kos sara hidup yang meningkat ketika ini.
“Itu jika musim berbuah, sekiranya musim melawas untuk enam bulan seterusnya, hendak dapat hasil satu metrik tan pun cukup susah, itu yang kita bimbang jika harga BTS menjunam ketika musim melawas.
“Pendapatan kasar itu (RM5,600) kita ambil kira jika BTS pada harga RM800 satu metrik tan, jika rendah sehingga RM500, peneroka tentunya terus hidup susah dan miskin jika hasil antara lima ke tujuh metrik tan sebulan, jika musim melawas, langsung tiada pendapatan setelah ditolak hutang, itu pun tidak cukup,” katanya di sini semalam.
Razak berkata, harga BTS pada ketika ini antara RM750 ke RM850 metrik tan sebulan sudah agak stabil demi kehidupan sederhana buat peneroka Felda.
“Jadi cara terbaik kerajaan perlu menetapkan harga standard BTS RM800 satu metrik tan ke atas, itu hanya paras sederhana, lebih baik jika dapat ditetapkan pada paras RM1,000.
“Kita tidak mahu ia jatuh lagi kerana dengan harga ketika ini peneroka boleh bernafas hidup dalam keadaan sederhana dan cukup makan, kita tidak mahu jatuh pada kategori miskin tegar jika harga sawit terus menjunam,” katanya.
Beliau mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan Indonesia yang merupakan antara pengeluar utama kelapa sawit sekiranya mahu mengawal harga komoditi terbabit.
“Bila ada kerjasama, maka tiada saingan. Dua kuasa besar industri ini bekerjasama mengawal harga supaya kedua-dua negara mendapat keuntungan dan manfaat bersama,” katanya. – UTUSAN