'Terus-teranglah lompat parti sebab banyak hutang mahu bayar'

‘Terus-teranglah lompat parti sebab banyak hutang mahu bayar’

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu wakil rakyat yang melompat parti masih belum reda apabila salah seorang pemimpin Parti Warisan (Warisan) mengeluarkan kenyataan secara sinis di media sosial berhubung ‘imbuhan’ yang didakwa ditawarkan kepada salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, video rakaman salah seorang bekas ADUN Warisan yang tular jelas membuktikan bahawa pemimpin itu dihubungi dan ‘ditawarkan’ pihak tertentu supaya beralih sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bekas ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, semasa wakil rakyat itu berjumpa dengan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebelum ini, beliau sendiri mengakui dan memaklumkan ‘akan dihubungi’ serta ditawarkan imbuhan.

“Rakyat di luar sana mungkin anda boleh bohong, ingat anda itu beragama Islam siap berpakaian seumpama orang yang faham hukum agama.

“Terus terang sahajalah, lompat parti sebab banyak hutang mahu bayar macam yang selalu anda mengadu di hadapan Presiden dahulu. Saya lebih hormat jika anda berterus terang sebab aksi lompat parti dalam politik ini perkara biasa terutama di Sabah.

“Semasa minta supaya dicalonkan (bertanding pilihan raya), siap ‘pasang’ orang supaya menangis di depan pemimpin Warisan minta dia dicalonkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Mohd. Azis tidak menyebut secara khusus nama pemimpin yang dimaksudkan. Bagaimanapun, ia dipercayai merujuk kepada tiga ADUNnya baru-baru ini yang dilaporkan keluar parti.

Semasa Perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, Mohd. Shafie mendakwa bahawa tiga ADUNnya yang keluar parti menyokong GRS kerana ‘dibeli’ oleh gabungan politik itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tawau daripada GRS, Lo Su Fui, menafikan dakwaan tersebut dan menuntut bukti daripada Warisan akan dakwaan itu.

Warisan kembali goyah apabila tiga ADUNnya mengumumkan keluar daripada parti itu, pada 6 Februari lalu. Tiga ADUN berkenaan ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Norazlinah berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segenap sudut serta hala tuju perjuangan parti Warisan termasuk pandangan akar umbi di kawasan DUN yang diwakili.

Ironinya, Norazlinah sebelum itu pernah menafikan keluar parti selepas ada desas-desus mengaitkan namanya antara enam ADUN Warisan yang didakwa akan keluar parti.

Sebelum ini, enam ADUN Warisan bertindak keluar dari parti dan menyertai parti lain iaitu Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya