Terus pandu lori remuk ke hospital setelah terlibat kemalangan

Terus pandu lori remuk ke hospital setelah terlibat kemalangan

TANGKAP layar video seorang pemandu lori yang memandu kenderaannya ke hospital dalam keadaan remuk setelah kelindannya tersepit di Hospital Jitra, Kung Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Demi memastikan kelindannya segera diberi rawatan, seorang pemandu lori sanggup menahan sakit untuk terus memandu lorinya yang remuk ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra, di sini setelah terlibat kemalangan, kelmarin.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, petugas hospital berkenaan dikejutkan dengan ketibaan lori tersebut yang berhenti betul-betul di depan unit kecemasan kira-kira pukul 4 petang.

“Setibanya lori itu di situ, pemandu lori tersebut didapati hanya mengalami kecederaan ringan. Kelindannya bagaimanapun tersepit di tempat duduk penumpang.

“Melihat keadaan itu, petugas berusaha mengeluarkan kelindan dan berjaya melakukannya. Mangsa segera dibawa ke zon merah untuk diberikan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan lori tersebut terlibat dalam kemalangan dengan sebuah mesin padi di Jalan Sungai Korok, Jitra.

Ketibaan lori itu dalam keadaan remuk di hospital berkenaan dengan pemandunya tersepit, turut tular di media sosial TikTok.

Mengulas lanjut, Dr. Othman berkata, kelindan lori tersebut didapati mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Pemandu lori itu pula turut diberi rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Dr. Othman berkata, pihak hospital tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai kemalangan yang menimpa lori tersebut sebelum itu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya