Terserah pada Harumaini untuk cabar di mahkamah - Hasnul - Utusan Malaysia

Terserah pada Harumaini untuk cabar di mahkamah – Hasnul

Harumaini
HASNUL Baharuddin (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin menyantuni (kiri) pengunjung ketika Program Jerayawara Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 dekat Pantai Morib, Banting, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tindakan perlucutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar sekali lagi dijelaskan dibuat selepas Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor merujuk kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri.

Timbalan Speaker DUN Selangor, Hasnul Baharuddin berkata, bagaimanapun terserah kepada Harumaini untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah terhadap keputusan dibuat Speaker, Ng Suee Lim pada 16 Februari (Khamis) lalu.

“Beliau sendiri mengaku gagal memberikan surat kepada dewan atau Speaker untuk menjelaskan masalahnya tidak dapat hadir pada sidang-sidang dewan seperti isu kesihatan isteri dan kesibukannya menguruskan keluarga.

“Jadi, pada pendapat saya, beliau sendiri tidak berkata apa-apa pada Speaker dan mengaku sendiri kesilapannya ketika berhubung dengannya untuk memberikan penjelasan tersebut (selepas Suee Lim membuat keputusan),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kerusi N07 Batang Kali kosong berkuatkuasa 28 Januari lalu apabila penyandangnya Harumaini dilucutkan jawatan selepas didapati tidak hadir enam bulan berturut-turut persidangan dalam Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada 2022.

Keputusan itu dibuat selepas daripada pemimpin daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu didapati melanggar Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 apabila tidak mengemukakan sebarang permohonan atau menyatakan sebab kepada Speaker.

Bagaimanapun, Harumaini kemudian dilapor sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Suee Lim kerana tidak memaklumkan kepadanya terlebih dahulu mengenai perlucutan itu.

Dalam pada itu, Hasnul menjelaskan seorang wakil rakyat dalam DUN Selangor mesti hadir mesyuarat atau sidang dalam tempoh enam bulan walaupun cuma sehari dalam satu-satu sesi mesyuarat.

“Namun, pada sidang terakhir pada tahun lalu ketika pembentangan Bajet Selangor 2023 pun beliau tidak hadir. Dalam enakmen dan peraturan kita jelas, mesti hadir dalam tempoh enam bulan. Dalam tempoh enam bulan mesti ada sidang, walaupun dia hadir sidang sebelumnya sehari, tetapi dari cut-off (27 Julai) sehingga habis enam bulan (beliau) tiada.

“Ramai juga ADUN datang setengah jam, lepas itu balik, sudah tandatangan (kehadiran) balik, maksudnya kita tidak boleh ambil tindakan. Namun dari segi moralnya tak betul ADUN bersikap begitu, hanya ‘melepaskan batuk di tangga’, datang untuk pastikan hadir, kemudian balik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya