Tekong darat, ‘transporter’ dicekup, cubaan seludup warga asing gagal - Utusan Malaysia

Tekong darat, ‘transporter’ dicekup, cubaan seludup warga asing gagal

POLIS turut menemui sekotak rokok mengandungi 160 biji dipercayai pil kuda sewaktu penahanan suspek menerusi Op Pintas yang dilaksanakan di Jalan Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Dua lelaki berperanan sebagai tekong darat dan penghantar bagi satu sindiket penyeludupan warga asing ditahan polis menerusi Op Pintas yang dilaksanakan di Jalan Kampung Kolam, di sini, semalam.

Penahanan itu dibuat sekitar pukul 12.15 tengah hari oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dibantu Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang melakukan pemerhatian selama dua jam di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, sewaktu operasi itu, pihaknya turut mehanan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun yang sedang menunggu dua suspek berkenaan di dalam semak berhampiran kawasan itu.

“Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RSX150 dipercayai merupakan tekong darat bagi sindiket ini.

“Manakala, seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun turut ditahan bersama kenderaan jenis Toyota Hilux dipercayai berperanan sebagai penghantar bagi sindiket penyeludupan warga asing itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas tiga warga asing itu turut mendapati dua daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala passport seorang lagi pula telah tamat tempoh.

Katanya, pemeriksaan ke atas lelaki yang berkhidmat sebagai penghantar itu juga menemui sekotak rokok mengandungi 160 biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda.

“Ujian air kencing ke atas lelaki penghantar itu juga mendapati positif methamphetamine,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Shokri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, bagi kesalahan urin, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau maksimum dua tahun penjara.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran akan diambil tindakan tegas bawah peruntukan undang-undang sedia ada. Polis Padang Besar akan terus kekal fokus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya