MARANG: Kerajaan negeri disaran membangunkan tasik bekas lombong emas yang dikenali ‘Tasik Pepsi Blue’ sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri ini.
Tasik tersebut yang terletak di atas dua bukit mempunyai pemandangan luar biasa kerana air di tasik tersebut berwarna biru kehijauan pada setiap masa dan tidak pernah surut.
Jumlah pengunjung yang ingin menikmati pemandangan yang indah di tasik itu semakin meningkat, selain tular dalam media sosial
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Medan Jaya 1, Azmi Saleh, berkata, jumlah pengunjung di tasik terbiar itu semakin meningkat termasuk dalam kalangan pelancong asing.
Katanya, penduduk percaya tasik tersebut akan menjadi lebih popular sekiranya kerajaan negeri dapat membangunkan kawasan berkenaan secara tersusun dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.
“Saya difahamkan sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman pernah meninjau ‘Tasik Pepsi Blue’ dan menyatakan hasrat memajukan kawasan itu sebagai pusat pelancongan baharu di negeri ini.
“Sehubungan itu, penduduk di Rusila berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan projek tersebut kerana kerana dapat memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang penduduk, Mohamad Abdullah, 59, berkata, tasik tersebut pada asalnya merupakan tapak orang ramai mendulang emas secara manual pada hujung 80-an sebelum diusahakan secara komersial oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri, namun ditinggalkan terbiar beberapa tahun kemudian.
“Tasik tinggalan daripada aktiviti melombong emas itu yang mempunyai pemandangan menarik kerana keadaan airnya berwarna biru kehijauan dan mula menjadi perhatian orang ramai,” katanya.
Pengerusi Pepsi Blue Jungle Trekking Club, Azahari Mustaffa, 59, memberitahu, dia percaya tasik itu akan menjadi tempat pelancongan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan kerana pemandangan di tasik itu sangat menakjubkan.
Malah katanya, pada masa ini, ramai dalam kalangan peminat aktiviti jejak hutan termasuk dari luar negeri ini tidak mahu ketinggalan menikmati keindahan di tasik itu.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga boleh memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kepada pengunjung di tasik itu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” tambahnya. – UTUSAN