LUMUT: Kerajaan disaran menyemak semula tarif lesen kenderaan motor (LKM) kerana penilaian berdasarkan kuasa kuda (cc) kenderaan tidak lagi dianggap relevan, selaras transformasi yang dilakukan sekarang.
Penganalisis pengangkutan, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar berkata, ketika ini sudah banyak kenderaan mewah yang membayar cukai jalan rendah kerana memiliki cc rendah.
“Banyak juga kenderaan lama yang terpaksa membayar cukai jalan mahal kerana mempunyai cc tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau menyifatkan pengumuman Kementerian Pengangkutan bahawa orang ramai tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada cermin kenderaan adalah satu langkah permulaan penambahbaikan sistem LKM.
Bekas Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia itu berkata, sebelum ini kualiti pelekat cukai jalan itu sering mendapat kecaman apabila ramai mempersoal tentang cara untuk memasang dan keadaannya yang pudar apabila lama dipasang pada cermin kereta.
Maka, menurut beliau, apabila mendapat tahu bukan lagi mandatori untuk dipamerkan, orang ramai menyambut baik walaupun ada juga yang bereaksi sinis.
“Untuk hal ini, saya mencadangkan LKM atau cukai jalan ini dilengkapi dengan kod ‘QR’ bagi memudahkan penguatkuasaan dan orang ramai bebas memuat turun dan mempamerkannya apabila diperlukan.
“Sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkaitan perlu sentiasa dinaik taraf bagi memastikan ia bersedia menghadapi trafik tinggi. Justeru, saya berharap sebarang perubahan digital ini mestilah seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan keupayaan agensi kerajaan dalam mengadaptasi serta melaksanakannya kepada rakyat teramai,” katanya. – UTUSAN