Tangkapan ikan banyak, luar biasa petanda suami pergi selama-lamanya - Utusan Malaysia

Tangkapan ikan banyak, luar biasa petanda suami pergi selama-lamanya

ROHANI Bakar (kanan) menerima replika cek dan baucar pencen penakat disampaikan Wong May Ing, bersama Mohd. Shaperi Md. Salleh di Pantai Remis hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Beberapa hari sebelum suami meninggal, arwah berjaya memperoleh hasil tangkapan laut yang banyak iaitu antara RM300 hingga RM400 setiap hari.

“Selama tiga hingga empat hari itu juga bekalan makanan di rumah seperti ikan, udang dan ketam juga banyak, tidak seperti biasa,” itu kata Rohani Bakar, 54, ketika ditemui di rumahnya di Pantai Remis, dekat sini hari ini.

Rohani adalah balu kepada nelayan, Ramli Abdul Hamid, 60, yang rentung dalam kemalangan dan kebakaran melibatkan dua motosikal di Jalan Pantai Remis-Changkat Jering, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa, Mohamad Tahir Selamat, 39, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, keesokan harinya.

Rohani tidak sangka hasil tangkapan ikan yang luar biasa banyak berbanding hari biasa itu, petanda suaminya akan meninggalkan beliau dan enam anak mereka buat selama-lamanya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Daerah Manjung diketuai Pengurusnya, Mohd. Shaperi Md. Salleh, bagi menyampaikan pencen penakat dan faedah pengebumian.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing.

Rohani menerima pencen penakat RM800 bulan untuk keperluannya serta dua anaknya berusia 20 dan 16 tahun, selain faedah pengebumian berjumlah RM2,000 berikutan arwah pernah mencarum dalam Perkeso ketika bekerja sebagai pemandu treler di Petaling Jaya sebelum berhenti kerja kira-kira 10 tahun lalu.

Menurut Rohani, pada hari kejadian arwah ada membawa tong berisi minyak petrol untuk enjin bot kerana suaminya itu bercadang mahu pergi ke perairan yang agak jauh sedikit daripada biasa, pada hari itu.

Beliau juga memberitahu sudah menjadi rutin harian suaminya membawa bekalan makanan untuk ibunya yang tinggal di Kampung Matang Kerian, tidak jauh dari lokasi kemalangan, pada setiap pagi sebelum pergi ke laut di jeti Bagan Panchor.

“Arwah begitu prihatin dengan ibu mentua saya yang berusia hampir 80 tahun dan tidak boleh lagi berjalan dan tinggal bersama adik bongsu arwah.

“Setiap hari sebelum pergi ke laut, arwah suami akan singgah menghantar makanan untuk ibunya dan selepas balik dari laut, singgah sekali lagi untuk melihat keperluan lain termasuk membasuh pakaian ibu mentua, kadang kala dia terus tidur di sana,” jelasnya.

Beliau memaklumkan arwah mempunyai sembilan adik beradik tetapi hanya suaminya dan adik bongsunya yang masih tinggal di Pantai Remis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya