Tanggung rugi motosikal terbakar - Utusan Malaysia

Tanggung rugi motosikal terbakar

MOHD. AZMIE Azman melihat motosikal miliknya yang musnah dalam kebakaran di Flat B4, Seberang Jaya, Butterworth, Pulau Pinang awal pagi tadi. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: “Saya terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi hon kenderaan bertalu-talu disusuli dengan jeritan di bawah rumah yang memaklumkan parkir motosikal terbakar,” kata Mohd. Azmie Azman, 36, salah seorang pemilik tiga daripada 15 buah motosikal yang musnah dalam kebakaran di Flat B4, Seberang Jaya, dekat sini awal pagi tadi.

Mohd. Azmie yang bekerja sebagai pemandu kren berkata, dia bersama-sama jiran lain bergegas turun ke kawasan parkir, namun ketiga-tiga motosikal miliknya gagal diselamatkan kerana api marak dengan pantas.

“Ketiga-tiga motosikal jenis Yamaha Ego, Yamaha Y15 dan Yamaha Lagenda digunakan oleh saya, isteri dan adik untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Saya runsing memikirkan sama ada boleh membuat tuntutan insuran memandangkan kerugian yang ditanggung mencecah RM20,000.

“Sepanjang kami tinggal di sini, inilah pertama kali kejadian seumpama ini berlaku dan kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 15 buah motosikal dilaporkan musnah dalam kejadian kebakaran di kawasan parkir Flat Tuna D4, Jalan Seberang Jaya, dekat sini pagi tadi.

Motosikal pelbagai jenis itu diletakkan secara selari di bawah bumbung berdekatan sebuah stor penyimpanan peralatan sembahyang.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) negeri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5.11 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Jamil Mat Isa, 62, berkata, motosikal miliknya juga gagal diselamatkan dalam kebakaran terbabit.

“Kebanyakan motosikal yang musnah diletakkan bersebelahan stor dan kita pun tidak tahu punca kebakaran.

“Sebelum ini, kalau kes seperti curi alat ganti motosikal tu sudah biasa berlaku tapi kejadian hari ini memang mengejutkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya