Tangguhkan penggunaan IDME, guru tertekan - NUTP

Tangguhkan penggunaan IDME, guru tertekan – NUTP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menangguhkan penggunaan sistem Pengurusan Identiti (IDME) yang belum stabil sehingga didakwa menyusahkan guru-guru untuk melaksanakannya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, IDME belum sesuai digunakan untuk guru-guru membuat pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Katanya, guru-guru mula rasa terbeban dengan sistem IDME kerana capaian trafik yang amat tinggi ekoran pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian.

“Susulan itu, NUTP menyeru  Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Ketua Pengarah Pendidikan membuat keputusan tangguhkan paksaan untuk guru-guru mengisi markah UASA ini dalam sistem pengurusan IDME sehingga aplikasi tersebut didapati mantap. KPM perlulah mendengar pandangan daripada akar umbi.

“Ini kerana warga pendidik yang menggunakan aplikasi tersebut dan akan merasai tekanan dalam menghadapi situasi ini. NUTP mendapati keluhan  dibuat oleh warga pendidik melalui sosial media serta NUTP mendapati guru-guru sangat tertekan dan kesabaran mereka sudah mencapai ke kemuncaknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, IDME adalah sistem yang dibangunkan KPM bagi membolehkan warga pendidik mengakses beberapa aplikasi yang ada dengan tujuan ingin memudahkan mereka mengaksesnya melalui laman web tersebut.

Sistem IDME ini diakses secara single sign on iaitu pengaksesan tersebut adalah secara tunggal melalui laman webnya. Semua warga pendidik yang mengisi UASA dan PBD mesti melalui sistem IDME menyebabkan mereka perlu mendaftar masuk ke sistem berkenaan.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, NUTP ada melakukan perjumpaan dengan Lembaga Peperiksaan (LPM) bagi mengutarakan mengenai permasalahan yang bakal dihadapi namun tidak diendah.

“Semasa perjumpaan di antara NUTP dengan pihak LPM pada Disember 2022, NUTP mengutarakan kebimbangan terhadap kesediaan dan perisian sistem ini.

“Namun, NUTP melihat LPM tidak mengendahkan pandangan NUTP berkaitan dengan perkara ini dan kini apa  dibimbangkan sudah menjadi kenyataan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya