KUBANG PASU: Seorang lelaki melecur di tangan apabila gudang jerami miliknya terbakar di Kampung Batu 4, Sanglang di sini, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa, Azli Che Ahmad, 44, bersama empat pekerja sedang melakukan kerja kimpalan besi dinding gudang tersebut sebelum percikan api jatuh ke atas jerami di gudang tersebut sehingga menyebabkan kebakaran.
“Saya bersama pekerja lain cuba memadam kebakaran itu namun api marak dengan cepat disebabkan angin kencang.
“Dalam keadaan kelam-kabut, saya cuba selamatkan jentera pengangkut daripada turut terbakar. Jentera tu bagaimanapun tiba-tiba tersangkut dan api yang marak kemudiannya terkena kepada tangan kanan saya menyebabkan melecur,” katanya yang mengalami kerugian mencecah RM100,000.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.21 pagi.
“Setiba di lokasi, didapati api sedang marak dan terdapat seorang masa melecur pada tangan kanan. Pihak kami bergegas berusaha memadamkan kebakaran manakala mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Api kemudiannya berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan rumah yang terletak 100 meter dari guang terbabit. Namun kejadian itu turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah jentera pengangkut dan motosikal,” katanya.
Tambahnya, kebakaran tersebut berjaya dikawal kira-kira pukul 12 tengah hari dan siasatan awal mendapati gudang terbabit musnah hampir 60 peratus. –UTUSAN