Tanam timun raih pendapatan RM15,000

Tanam timun raih pendapatan RM15,000

MAT Isa Hassan (dua dari kanan) bersama sebahagian ahli Koperasi PVATM Cawangan Hulu Terengganu Berhad yang mengusahakan tanaman timun di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Hulu Terengganu Berhad meraih pendapatan kira-kira RM15,000 hasil jualan timun semusim menerusi projek tanaman perintis di Kampung Bukit Tokbat di sini.

Pengerusinya, Mejar (B) Mat Isa Hassan berkata, tanaman timun batang itu mula diusahakan di kawasan seluas dua hektar tahun lepas dan hasilnya dituai bermula 6 Februari lalu dan dijangka keseluruhannya boleh mencecah 10 tan metrik.

Beliau yang juga Ketua Cawangan PVATM Hulu Terengganu berkata, usaha koperasi menceburi sektor pertanian adalah bagi membantu tingkatkan ekonomi ahli selain membuka peluang pekerjaan kepada veteran tentera dan ahli keluarga.

“Sebelum ini, projek yang dijalankan tidak lancar setelah kebun musnah akibat banjir besar pada Februari dan Disember tahun lepas. Kini projek tersebut membuahkan hasil dengan enam tan metrik sudah dituai sehingga kini.

“Kita jangka dalam tempoh 25 hari tuaian, pungutan hasil mampu cecah 10 tan metrik dengan hasil jualan boleh diraih melebihi RM15,000 bergantung kepada harga pasaran. Hasil dipasarkan kepada pemborong, peniaga setempat serta individu.

“Jumlah ini pemangkin keberhasilan projek pertanian untuk dijadikan penanda aras. Koperasi PVATM Cawangan Hulu Terengganu Berhad, koperasi veteran pertama di Pantai Timur usahakan projek pertanian jangka pendek seperti timun ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kata beliau, buat masa ini keseluruhan kawasan pertanian koperasi tiga hektar dan pihaknya merancang mengusahakan tanaman terung serta keledek selepas ini bagi meningkatkan lagi ekonomi seramai 56 ahli koperasi.

Menurut beliau, susulan kawasan kebun yang terdedah dengan banjir hanya tanaman jangka pendek boleh diusahakan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan dan kerugian akibat bencana alam itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya