Tanam sayur atasi tekanan kenaikan harga - Utusan Malaysia

Tanam sayur atasi tekanan kenaikan harga

NAZILAH Idris menunjukkan sayur kacang panjang yang ditanam dekat kebunnya di Klang, Selangor. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pihak yang terkesan de­ngan kos sara hidup disarankan supaya menanam sayur sendiri di sekeliling rumah atau kawasan kejiranan bagi pangsapuri supaya tidak terbeban dengan peningkatan harga bahan makanan itu.

Malah, tindakan sedemikian juga dilihat secara tidak langsung memberi tekanan kepada rantaian perniagaan pertanian itu supaya dapat mengelak daripada monopoli kartel yang cuba mengawal harganya.

Menurut salah seorang pe­ngusaha kebun di Bandar Putera, Datuk Nazilah Idris, kenaikan harga sayur menyuntik motivasi kepada dirinya untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran di tanah kosong yang disewa daripada sebuah agensi kerajaan.

“Jangan terus mengeluh de­ngan kenaikan kos hidup, carilah jalan untuk mengurangkan beban kewangan dengan menabur bakti kepada tanah.

“Saya sebelum ini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkhidmat kepada masyarakat, kini masa saya ba­nyak dihabiskan di kebun sayur seluas lebih dua hektar ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun tambah beliau, kenaikan harga makanan dan minuman bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya oleh peniaga tetapi disebabkan masalah kenaikan harga input-input pertanian.

Jelas Nazilah, kenaikan harga baja dan makanan haiwan akibat peperangan di Ukraine menjadi punca kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Sebagai contoh jika makanan haiwan naik harga maka harga ayam pun turut sama naik. Tahi ayam yang menjadi baja pun akan naik harga. Sa­yur-sayuran yang menggunakan tahi ayam sebagai baja secara tidak langsung terpaksa dijual dengan harga yang tinggi juga.

“Justeru orang ramai disaran tanam sayur-sayuran di sekeli­ling rumah bagi mengurangkan beban kewangan membeli sa­yur-sayuran seperti kacang panjang, kacang bendi, labu manis dan terung.

“Dalam masa sama, saya juga berharap pihak berkuasa akan membantu rakyat bukan sahaja dengan memberi bantuan kewangan tetapi memberi kursus pertanian dan memberi pinjaman untuk menjadi petani mo­den,” katanya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, selain kenaikan harga baja, faktor cuaca, kenaikan harga racun serangga serta masalah kekurangan pekerja asing turut merencatkan pengeluaran sayur-sayuran termasuklah krisis antarabangsa Rusia-Ukraine pada awal tahun lepas.

Faktor tersebut dilaporkan selepas bekalan sayur-sayuran negara dijangka tidak dapat menampung permintaan yang tinggi menjelang bulan Ramadan berikutan hasil pengeluaran sayur dalam negara terjejas akibat cuaca buruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya