MELAKA: Kawasan tanah terbiar yang banyak di negeri ini dikenal pasti menjadi antara punca populasi babi hutan terus meningkat saban tahun, meskipun pelbagai langkah menghapuskan haiwan perosak itu sudah diambil pihak berwajib.
Tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan, Melaka mempunyai sebanyak 1,915 lot tanah terbiar dengan keluasan mencecah 2,332.30 hektar di ketiga-tiga daerah di negeri ini.
Definisi tanah terbiar itu merujuk kepada tanah darat atau sawah berkeluasan minima 0.4 hektar yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.
Jabatan Pertanian negeri telah mengenal pasti 871 lot tanah terbiar di Melaka Tengah, diikuti dengan Alor Gajah sebanyak 832 lot dan Jasin 212 lot.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, meskipun menyedari potensi kawasan tersebut untuk bidang pertanian dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Melaka, kerajaan negeri dan pihak berwajib tidak boleh membangunkannya tanpa kebenaran pemilik.
Usaha membendung serangan babi hutan terhadap tanaman dan keselamatan penduduk bagai tiada kesudahan, di mana sejak 2021 sehingga Januari tahun ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menghapuskan sebanyak 1,287 ekor mamalia berkenaan.
Ini bermakna secara purata, kira-kira 51 ekor babi hutan ditembak pada setiap bulan di Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, kawasan semak dan tanah kosong yang terbiar telah mengundang haiwan berkenaan untuk beradaptasi dengan persekitaran manusia dan seterusnya membiak.
Beliau berkata, sikap segelintir masyarakat yang tidak melupuskan sisa makanan dengan sempurna turut menjadi punca babi hutan keluar dari habitat asal dan berkeliaran berhampiran tempat tinggal manusia.
Jelasnya, sifat babi hutan yang scavenger atau memakan apa sahaja sisa bio seperti bangkai dan buah-buahan busuk membuatkan ia mudah tertarik kepada bau dan sisa makanan yang dibuang.
“Sebenarnya babi hutan di Melaka tidak lagi tinggal di hutan tetapi di kawasan-kawasan semak. Sebab itu kelibat haiwan ini sentiasa dilihat berada di kawasan penempatan manusia.
“Babi hutan menjadikan sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah atau belakang rumah sebagai kawasannya mencari makanan. Jika keadaan ini berterusan, bukan sahaja babi hutan malah akan menarik haiwan scavenger lain seperti biawak dan ular sawa.
“Saya nasihatkan agar masyarakat melupuskan sisa makanan dengan betul sama ada membuang dalam tong sampah atau menanamnya. Melaka sebuah negeri yang bersih, namun sikap segelintir rakyat yang memandang mudah perkara ini menyebabkan kita berdepan masalah haiwan liar,” katanya.
Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan, memberi kebenaran kepada petani yang berminat mengusahakan aktiviti pertanian di tanah terbiar milik kerajaan, terutamanya bagi tanaman kontan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pembangunan tanah terbiar itu dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian di Melaka, sekali gus memastikan bekalan makanan dan keperluan penduduk mencukupi. – UTUSAN