GUA MUSANG: Kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli dari Pos Gob di sini, terputus hubungan selepas jalan yang menjadi nadi utama urusan harian mereka ditimbus tanah runtuh sejak Jumaat lalu ekoran hujan lebat.
Setiausaha Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Aman Pak Ngah, 37, berkata, situasi itu menyebabkan jalan tersebut tidak boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda atau motosikal kerana berisiko tersangkut dalam lumpur susulan tanahnya masih berselut.
“Jika sebelum ini kami masih lagi boleh menggunakan motosikal untuk ke Bandar Gua Musang, tetapi bermula Jumaat lalu penduduk Orang Asli tidak berani keluar kerana jalan sangat teruk.
“Sekarang ini penduduk hanya bergantung dengan makanan asas sumbangan kerajaan negeri baru-baru ini dan kami bimbang untuk keluar membeli makanan dan barang keperluan asas selepas ini kerana jalan rosak,”katanya kepada pemberita di sini semalam.
Aman memberitahu, kumpulan pacuan empat roda yang cuba masuk bagi menghantar barangan terpaksa berpatah balik semalam kerana jalan sudah ditimbus dengan tanah runtuh.
Seorang lagi penduduk Orang Asli, Amat Jali, 45, berkata, dia bersama lima rakan sekampung terpaksa menempuh perjalanan selama dua hari satu malam untuk keluar ke Bandar Gua Musang bagi membeli barang makanan pada minggu lalu.
Katanya, sejak dua bulan lalu, hanya motosikal yang boleh melalui jalan ke Pos Gob kerana laluannya rosak dan berselut.
“Kami tiada pilihan terpaksa keluar membeli makanan di bandar kerana sumber makanan seperti padi dan tanaman lain sudah dirosakkan gajah liar.
“Orang Asli di sini tidak hanya berhadapan dengan masalah jalan perhubungan yang rosak, tetapi juga gangguan gajah liar yang merosakan tanaman seperti pisang dan ubi kayu yang menjadi makanan asas kami,” ujarnya.
Amat berkata, Orang Asli berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera dan mempercepatkan projek Jalan Bersepadu yang kini dalam proses pelaksanaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, faktor cuaca yang sentiasa hujan menjadikan kerja baik pulih jalan tergendala serta pihaknya akan melaksanakan kerja tersebut dalam masa terdekat.
“Jakoa akan memastikan kerja-kerja baik pulih jalan dan membersihkan tanah runtuh sebaik saja jalan kering dan cuaca kembali cerah. Kami akan menggunakan kaedah sapu jalan terlebih dahulu bagi membolehkan motosikal penduduk dapat dilalui,” katanya. –UTUSAN