PETALING JAYA: Pelakon, Aidit Noh terpaksa ‘merahsiakan’ beberapa adegan mesra dalam drama baharunya, Isteri Halal demi menjaga hati isterinya, Hanani.
Jelas Aidit, sebagai suami, dia perlu mengelakkan isteri merajuk dan terasa hati apabila menonton beberapa adegan yang mungkin kurang digemari serta boleh menimbulkan sangsi.
“Isteri ada ketika penggambaran beberapa babak mesra itu, tetapi dia hanya berehat dalam bilik. Saya harap bila drama ini ditayangkan, dia tidak merajuk menonton beberapa babak mesra.
“Saya bagaimanapun, sudah bersiap sedia dengan jawapan, apatah lagi ketika ini, isu curang dan penyondol memang panas. Bagi saya, kalau hendak curang, tidak perlu berlakon sama. Kita kena pandai jaga diri.
“Pastikan niat berlakon itu betul iaitu untuk mencari rezeki. Saya bersikap profesional dan keserasian itu cukup sekadar di set penggambaran. Tidak perlu terbawa-bawa sampai ke luar set,” katanya.
Dalam pada itu, Aidit menjelaskan, dia sudah berbincang dengan gandingannya dalam drama itu, Uqasha Senrose berhubung limitasi, pergerakan dan keselesaan masing-masing sebelum melakonkan babak tersebut.
“Semua pergerakan sudah dibincang terlebih dahulu. Apa saya nak buat, bahagian mana mahu pegang, semua kami rancang. Penting untuk kita berbincang supaya tidak ada sentuhan atau pergerakan mengejut.
“Saya kena hormat status dia sebagai isteri orang, selain saya sebagai seorang suami. Kita perlu profesional dalam kerja. Kita mahu beri yang terbaik, pada masa sama, hormat rakan pelakon,” ujarnya.