ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya membandingkan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dengan pembinaan Kedah Aerotropolis pada pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah Aerotropolis hakikatnya melibatkan pembinaan landasan kapal terbang sebagai kemudahan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), industri komponen pesawat, pusat latihan juruterbang dan hab kargo asia.
“Bagaimana Perdana Menteri boleh bandingkan projek naik taraf dua lapangan terbang sedia ada yang disifatkan lebih murah dengan projek baharu Kedah Aerotropolis?
“Memanglah projek naik taraf lebih murah kerana ia dibina di kawasan yang sangat terhad berbanding projek baharu (Kedah Aerotropolis) yang sebegitu besar dan memiliki pelbagai komponen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bercadang untuk menaik taraf LTAPP dan LTSAAS berbanding membangunkan hab baharu dengan kerja-kerja itu akan diterajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion dengan cadangan tersebut ujarnya tidak boleh dipertimbang dalam keadaan semasa.
Sementara itu, Muhammad Sanusi mengingatkan bahawa Kedah Aerotropolis merupakan projek kerajaan negeri dengan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) sepenuhnya tanpa melibatkan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
“Bukan hanya lapangan terbang malah projek itu turut melibatkan pusat industri dan pembangunan ekonomi baharu dengan pelbagai komponen lain yang akan menjadi ‘game changer’ kepada wilayah utara. Jangan ‘pi’ batal projek orang sudahlah,” katanya. –UTUSAN