‘Tak kisah dipanggil artis one-hit wonder’ - Utusan Malaysia

‘Tak kisah dipanggil artis one-hit wonder’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPAN bulan lalu, nama pasangan penyanyi ini tiba-tiba meledak, penangan populariti lagu Casablanca yang mencipta fenomena tersendiri. Populariti lagu itu turut merentas sempadan. 

Tidak hanya menjadi siulan di negara jiran, Indonesia, Casablanca turut diminati peminat di Asia Barat. 

Tidak pernah Nuha Bahrin, 22, atau Naufal Azrin, 23, ter kir menerima sambutan begitu menggalakkan sehingga pasangan duet itu turut diintai produksi negara seberang. 

Lagu yang sudah mencecah 26 juta pendengar di YouTube itu memberi rezeki tidak disangka-sangka buat mereka. 

Pencapaian yang diraih memberikan mereka peluang untuk mengecap nikmat populariti. 

Apatah lagi, Casablanca yang dicipta Daqmie, manakala lirik Abdul Karim Al Ali mencipta sejarah sebagai lagu tempatan pertama menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia. 

Lagu itu juga menempa kedudukan teratas di aplikasi JOOX Malay Hits dan tempat kedua di Apple Music Top 100. 

Namun, tidak sampai setahun, fenomena itu bagaikan terhenti seketika sehingga ada melabelkan mereka sebagai artis one-hit wonder. 

Lagu yang pernah panas menggelegak, kini suhunya semakin suam. 

“Itu adalah rezeki. Apa yang kita dapat seperti viral adalah tuah. Kalau orang cakap kami artis one-hit wonder, tidak mengapa. Untuk pengetahuan, kami tidak pernah berhenti berkarya. 

“Selepas viral, kami ada banyak projek yang sedang diusahakan dan hanya menanti masa untuk diperkenalkan,” kata Nuha.

PETALING JAYA 12 September 2022 – Sesi fotografi Nuha Bahrin pada Majlis Sidang Akhbar Ijab dan Qabul, di Hotel TH Kelana Jaya, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

Kekal Identiti

NUHA atau nama penuhnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin berkata, kuasa tular juga sebenarnya membuka banyak pintu rezeki dan peluang buat mereka yang masih bertatih dalam industri muzik. 

Baginya, dia tidak mahu terlalu mengambil kisah dengan pandangan orang kerana masing-masing berhak berkata apa sahaja. 

“Jujurnya, kami tidak pernah letak sasaran untuk viral. Setiap apa yang kami lakukan sasarannya adalah ingin berjaya. Kalau dapat ulangi rezeki seperti itu, kami cukup gembira. Kalau tidak, kami okey sahaja,” ujarnya. 

Bagi Naufal yang pernah menganggotai kumpulan Zayne, dia mengakui, banyak perubahan dirasai selepas lagu Casablanca mencipta fenomena. 

Daripada individu yang tidak dikenali, katanya, kini pelbagai gelaran mencuit hati diterimanya.

“Nama saya mungkin tidak begitu dikenali, tetapi apabila berjumpa di luar ada yang panggil saya ‘abang denyut’. 

“Baik dan buruk memang ada. Apa yang penting, kita harungi dengan tenang, santai dan terima seadanya. Setiap pekerjaan yang dilakukan, saya tidak lupa meletakkan tawakal pada Yang Maha Esa,” kongsinya.

Selepas dihujani maklum balas dan permintaan menghasilkan lagu itu sepenuhnya di dalam bahasa Arab, hasrat tersebut akhirnya direalisasikan menerusi saluran YouTube. 

Nuha yang pernah menyertai program realiti, Vokal Mania memberitahu, mereka berharap lagu tersebut dapat menembusi pasaran di negara Arab dengan lebih meluas. 

Lagu berkisar kisah cinta pasangan kekasih yang banyak dikongsi di aplikasi TikTok itu menjadi titik permulaan bagi single duet mereka. 

Akui Nuha, permintaan peminat terhadap lagu itu cukup hebat. 

“Kami banyak terima maklum balas daripada orang Syria dan penduduk di Casablanca, Maghribi yang memuji lagu tersebut.Mereka tidak sangka penyanyi lagu itu berasal dari Malaysia. 

“Kami berterima kasih kepada abang Karim yang banyak mengajar sebutan dan lenggok dalam bahasa Arab. Tidak lupa juga buat guru vokal kami, Adzrin Adzhar,” katanya. 

Ditanya sama ada mahu mengubah genre yang mereka terokai, Nuha berkata, dia masih selesa membawakan lagu Arab dan Melayu yang sudah menjadi identiti mereka. 

“Kami sudah temui sasaran kelompok pendengar baharu. Jadi, ia sudah jadi imej kami,” katanya. 

Idolakan Syamel, Ernie

MEMPERTAHANKAN nama sebagai duo, akui Naufal, mendatangkan cabaran tersendiri buat mereka. 

Apatah lagi dalam lingkungan usia yang terlalu muda, masih banyak cabaran dan liku hidup sebagai anak seni perlu ditempuh. 

Ditebak idola mereka dalam industri muzik, Naufal tidak teragak-agak menamakan Syamel dan Ernie Zakri sebagai contoh terbaik. 

“Harapnya kami dapat jadi sehebat mereka. Kami meletakkan Syamel dan Ernie sebagai idola dalam bidang nyanyian dan pasangan duo yang berjaya,” kongsinya. 

Bagi Nuha, dia teringin duduk bertentang mata dengan pasangan penyanyi yang popular menerusi lagu duet, Aku Cinta. 

Sebagai penyanyi baharu, katanya, sudah tentu banyak ilmu nyanyian yang ingin dipelajari serta tips berguna yang dapat dijadikan panduan. 

“Kami tidak pernah duduk berbincang dengan mereka. Belum sempat meminta nasihat atau tips sebab selalu berjumpa ketika mereka sedang sibuk. Tetapi, kami pernah bertegur sapa sebelum ini,” katanya.

Ditanya di mana kedudukan seandainya tiada perancangan menyatukan mereka sebagai penyanyi, ini jawapan Nuha. 

Jelas Nuha, jujurnya industri muzik bukan bidang yang mahu diceburinya secara serius kerana sudah mempunyai perancangan lain dalam hidup. 

“Sebelum Casablanca, saya sudah  kir industri muzik bukan untuk saya lagi. Saya pernah mempunyai rancangan untuk buka perniagaan atau bekerja di luar negara dengan mana-mana syarikat.

“Ketika itu, saya sudah penat dan letih dengan pengalaman yang saya lalui sepanjang menyertai program realiti. Namun, saya kuatkan juga hati dan cuba melihat hasil single pertama. Alhamdulillah, ia menjadi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya