PETALING JAYA: ‘Syarat jadi penyanyi mesti ada album.’
Demikian ditegaskan penyanyi, Hazama, 38, terhadap kecenderungan penggiat industri muzik yang lebih gemar menumpukan perhatian terhadap penghasilan single.
Katanya, sebagai penyanyi, memiliki sekurang-kurangnya satu album mampu membuktikan keberadaan mereka dalam industri muzik.
Menurut penyanyi Relakan Jiwa, penghasilan album juga akan menentukan konsep, ideologi dan perjuangan seseorang penyanyi.
“Kita sudah biasa dicampakkan dengan single sampai lupa album merupakan syarat jadi penyanyi. Bila orang tanya apa bukti jadi penyanyi, albumlah jawabnya.
“Walaupun orang cakap album tidak boleh jual, ia sebenarnya menentukan hala tuju dan konsep perjuangan muzik seseorang penyanyi,” katanya.
Hazama menghasilkan album pertama, Penglipur Lara pada 2013 dan kini dalam pembikinan album kedua yang memuatkan sembilan lagu genre rock.
Katanya, pembikinan album tersebut baru mencecah 20 peratus dan masih mencari bahan bersesuaian sebelum memasuki studio bagi proses rakaman lagu.
“Saya bercadang untuk keluarkan dua siri album, mungkin siri pertama ada lima lagu dan selebihnya pada siri kedua,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hazama berkata, album juga dapat menyakinkan khalayak tentang perjuangan muzik yang dibawa supaya dapat menjadi contoh kepada generasi muda.
“Senior saya seperti kumpulan Wings dan Search sudah menghasilkan album, malah kita kenal konsep muzik mereka. Cerita muzik mereka seiring dan tidak bercampur aduk,” katanya.
Dalam perkembangan lain, juara Akademi Fantasia musim kesembilan itu bakal muncul dengan single duet baharu bersama penyanyi, Marsha Milan Londoh, Ilusi yang akan menjadi runut bunyi (OST) sebuah drama tempatan.