Suspek seludup ketum direman empat hari

Suspek seludup ketum direman empat hari

SUSPEK berusia 29 tahun dibawa keluar oleh polis selepas perintah tahanan reman dikeluarkan terhadapnya di Mahkamah Majistret Jitra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Dua suspek yang diberkas sepasukan tentera ketika cuba menyeludup daun ketum di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang dekat Padang Terap, semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap dua lelaki itu dikeluarkan Majistret Nurul Huda Idris di dua lokasi berbeza bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

Terdahulu, suspek berusia 29 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra di sini pada pukul 8.45 pagi dengan menaiki kenderaan polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman tersebut.  

Lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa keluar bersama tahanan lain tidak lama kemudian setelah perintah reman dikeluarkan terhadapnya.

Perintah tahanan reman terhadap seorang lagi suspek yang berusia 31 tahun terpaksa dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana dia masih menerima rawatan akibat kereta digunakan mereka, terbabas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, semalam, dua lelaki itu ditahan setelah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas ketika dikejar sepasukan pegawai dan anggota tentera.

Menurut Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar, kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu pada mulanya cuba menghimpit motosikal tentera ketika dikejar.

Katanya, pacuan empat roda tersebut juga hampir melanggar kenderaan awam menyebabkan pegawai tentera yang membonceng motosikal terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kanan jalan.

Akibat insiden itu, bungkusan disyaki daun ketum bertebaran di bahu jalan setelah kenderaan dinaiki suspek terbabas memasuki longkang.

Pemeriksaan dibuat terhadap kenderaan pacuan empat roda itu turut menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.

Kes kini disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya