Sumpahan Syaitan: Ringan, tidak serabut - Utusan Malaysia

Sumpahan Syaitan: Ringan, tidak serabut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, harapan terhadap filem Sumpahan Syaitan ini agak tinggi. Melihatkan barisan pelakon dan pengarah, filem ini dijangka mampu pecah panggung. Penonton tempatan juga suka dengan filem bergenre seram-komedi kan?

Ringan, santai dan tidak serabut. Itu yang boleh digambarkan sepanjang hampir dua jam menyaksikan naskhah terbitan D-Bay Filem Factory dengan kerjasama Red Firess Film Production ini.

Jalan ceritanya ringkas. Tidak berselirat atau membuatkan penonton garu kepala memikirkan apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh pengarah, Roy. Tiada elemen seram-thriller yang keterlaluan.

Elemen komedi dalam filem ini juga tidak dibuat-buat dan terlalu nampak seperti dipaksa. Kehadiran pelawak-pelawak senior dan dibantu oleh beberapa watak sampingan, elemen komedi itu tidak terlalu cringe.

Setiap watak mempunyai character development sendiri. Masing-masing bijak mewarnakan skrip dengan karakter yang sinonim dengan mereka terutama anggota kumpulan Senario, Azlee, Pakya, Saiful Apek dan Yassin.

Namun masih ada beberapa watak yang lemah dan kurang penjiwaan. Mungkin kerana penggambaran dilakukan sekitar tahun 2019 dan beberapa kali terpaksa ditangguh gara-gara pandemik, masalah ketidakselarian proses dubbing suara agak ketara dan menganggu.

Walaupun pada asalnya Sumpahan Syaitan merupakan sebuah naskhah seram 100 peratus, namun pengarah merasakan, elemen komedi perlu disuntik sementelah penoton tempatan menggemari genre sebegitu.

“Memang pelan asal untuk menghasilkan satu filem seram. Tetapi kita lihat juga pasaran filem tempatan. Kebanyakkan penonton lokal suka dengan filem seram-komedi. Lebih santai dan tidak perlu banyak berfikir.

“Cabaran menghasilkan Sumpahan Syaitan ini juga berat. Kami terpaksa menangguhkan penggambaran selepas dua hari kerana pandemik. Beberapa kali juga kami terpaksa menangguhkan penggambaran.

“Bila filem sudah siap saya juga perlu menunggu giliran. Kita faham, banyak filem yang menunggu untuk ditayangkan. Jadi, saya fikir ini masa yang sesuai. Selepas ini, ada dua filem lagi menanti giliran,” kata pengarah, Roy.

Sementara itu, Farid Kamil yang pertama kali berlakon dalam naskhah seram-komedi juga mengakui banyak halangan dan cabaran perlu ditempuhi untuk menghasilkan filem tersebut.

“Ini filem seram komedi pertama saya. Penggambaran pula terpaksa dihentikan sementara kerana pandemik. Jadi, itu adalah cabaran kepada pelakon bagaimana untuk memastikan watak itu tidak lari.

“Selepas malam gala, saya dengar respons positif daripada penonton. Elemen komikal dan seram yang cukup. Berlakon dengan pelawak senior juga memberi cabaran. Saya tak boleh ikut norma skrip biasa.

“Mereka adalah pelakon spontan. Jadi saya memang pastikan tidak zone out dan sentiasa dalam karakter walaupun apa yang dilontarkan mereka tidak ada dalam skrip. Seronok berlakon dengan pelawak legenda kita,” katanya yang memegang watak Sam.

Sumpahan Syaitan mengisahkan Sam yang berdepan masalah apabila dirinya diperdaya skim pelaburan cepat kaya. Tidak hanya itu, Sam juga telah meminjam wang daripada seorang ketua gangster, Branco semata-mata untuk melabur dalam skim penipuan tersebut.

Selepas mendapati dirinya ditipu, Sam terpaksa melarikan diri bersama isteri dan anaknya ke sebuah hotel milik sahabat baiknya, Malik. Tetapi nasib Sam bertambah malang apabila berdepan pelbagai kejadian misteri dan seram ketika menyembunyikan diri di hotel tersebut.

Bakal menjengah ke pawagam 2 Mac depan, Sumpahan Syaitan membariskan nama-nama besar antaranya Farid, Datuk Jalaludin Hassan, Nynaa Harizal, Datuk AC Mizal, Adam Shahz, Saiful Apek, Yassin, Senario (Azlee, Pak Ya) dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN