Sultan Selangor nasihat KKM selesai isu pesakit tunggu lama - Utusan Malaysia

Sultan Selangor nasihat KKM selesai isu pesakit tunggu lama

Sultan KKM
SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Dr. Zaliha Mustafa melihat aktiviti pesakit kanak-kanak ketika melawat sebuah wad dekat Hospital Tanjong Karang yang baharu di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) diseru melihat keperluan fasiliti kesihatan negeri ini secara menyeluruh terutama melibatkan proses menunggu yang lama di hospital.

Hal demikian termasuklah situasi rakyat terpaksa menunggu lama di Bahagian Kecemasan kospital sebelum dimasukkan ke dalam wad kerana ramai pesakit di klinik kesihatan. 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, lebih tujuh juta rakyat negeri ini memerlukan banyak fasiliti kesihatan dengan kemudahan peralatan terkini. 

“Masa menunggu untuk pembedahan dan rawatan lanjut juga mengambil masa berbulan-bulan. 

“Oleh itu, beta memohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan perlu diutamakan manakala jumlah doktor serta jururawat juga harus ditambah,”  titah baginda ketika berucap merasmikan Hospital Tanjong Karang yang baharu, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan diiringi Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pembinaan hospital yang diluluskan pada  2013 di bawah Rancangan Malaysia ke-10 itu di atas tanah seluas 16.1 hektar dengan kos keseluruhan berjumlah RM269 juta menggantikan hospital lama di pekan Tanjong Karang berusia 57 tahun.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin, turut menyeru KKM meningkatkan keselamatan bekalan perubatan negara bagi menangani sebarang isu rantaian bekalan farmaseutikal global dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan bagi memastikan pengurusan hospital berjalan lancar.

Jelasnya, Malaysia menghadapi isu kekurangan bekalan ubat kritikal tahun lalu akibat penutupan dan sekatan oleh kerajaan China dan masalah perang di Rusia-Ukraine.

“Kerajaan terpaksa menyalurkan bekalan ubat selsema dan batuk kepada fasiliti kesihatan swasta kerana bekalan amat berkurangan di pasaran. Mengambil iktibar isu itu, kementerian perlu meningkatkan keselamatan bekalan perubatan kerana Malaysia amat bergantung kepada produk farmaseutikal yang diimport,” ujarnya.

Baginda menasihatkan, perkhidmatan kesihatan di hospital perlu mempunyai sistem pengurusan baik dan cekap supaya dapat menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan di Selangor. 

“Ini juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat. 

“Bagi pengurusan fasiliti, penyenggaraan bangunan secara berjadual dan pemantauan fasiliti  berkala dapat meningkatkan jangka hayat bangunan hospital selain memberi faedah berterusan kepada penduduk setempat,” titahnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya