MELAKA: Sikap segelintir ketua jabatan dan agensi di Melaka yang tidak melaksanakan tugasan seperti diputuskan dalam mesyuarat peringkat negeri telah merencatkan beberapa perancangan, antaranya penubuhan daerah baharu Masjid Tanah.
Perkara itu didedahkan sendiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang secara terbuka menyelar sikap ditunjukkan kelompok berkenaan umpama, ‘seperti lain yang diputuskan, lain yang dilaksanakan’.
Beliau turut membangkitkan isu pembangunan Menara Ikonik yang didakwa belum menunjukkan sebarang keberhasilan.
“Apa sudah jadi dengan penubuhan daerah baharu Masjid Tanah? Apakah sudah hilang daripada radar, jangan kerana saya duduk diam saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya minta pihak berkenaan siapkan laporan dan perkembangannya.
“Saya hendak tanya apa sudah jadi dengan Menara Ikonik? Apa makna proaktif kalau tiada kemajuan dan perkembangan. Saya mahu Menara Ikonik direalisasikan dalam masa terdekat.
“Ia (sikap) mesti dihentikan segera. Bagaimana kita mahu mencapai matlamat kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat sekiranya matlamat serta objektif asal tidak dipatuhi.
“Saya ulang sekali lagi hentikan segera, fokus kepada agenda perancangan pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Sementara itu, menyentuh soal kerja, Sulaiman mahu ketua jabatan dan kakitangan mempunyai tugas seimbang daripada segi sasaran kerja tahunan (SKT) dan petunjuk prestasi utama (KPI).
Katanya, budaya kerja proaktif bukan setakat meletakkan sasaran kerja, tetapi melaksanakan tugas yang sepatutnya melebihi sasaran KPI.
“Jangan bila ‘diketuk’ baru hendak jalan (kerja). Semua ketua jabatan perlu ada budaya proaktif, buang budaya selesa seperti yang disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita ada banyak agenda untuk diselesaikan,” jelasnya. – UTUSAN