Subsidi penternak ayam, telur dikaji semula - Utusan Malaysia

Subsidi penternak ayam, telur dikaji semula

MOHAMAD Sabu dua dari (kanan) (menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat kepada wakil nelayan pada Program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN//ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan akan mengkaji semula keperluan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan telur menjelang pertengahan tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, ia kerana sehingga kini subsidi yang diberikan kepada penternak tersebut sudah mencecah RM1.8 bilion dan dijangka melebihi RM2 bilion menjelang Jun ini.

“Subsidi ini kita berikan sehingga Jun dan menjelang bulan itu kita akan buat kajian sama ada hendak diteruskan subsidi atau ada cara yang lain yang perlu dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang di sini hari ini.

Menurut beliau, jumlah subsidi yang diberikan terlalu besar dan ia boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih memerlukan jika ditarik balik.

Beliau menjelaskan, kerajaan kini sedang berusaha menstabilkan harga ayam dan telur dan jika ia berjaya dilaksanakan maka tiada keperluan untuk memberi subsidi kepada penternak tersebut.

“Subsidi ini sudah terlalu lama, jadi bila harga import makanan berada pada harga sesuai, maka kita akan pertimbangkan supaya mereka buat persaingan sebab subsidi ini wangnya boleh digunakan di tempat lain,” ujar beliau.

Mengenai rungutan orang ramai mengenai telur jenis Omega yang harga lebih mahal, lebih banyak dijual di pasaran berbanding jenis biasa, Mohamad berkata, pengeluar telur jika boleh memang mahu menjual telur jenis itu kerana ia boleh memberi sedikit keuntungan kepada mereka.

“Kita kena faham, satu (isu melibatkan kehendak) pengguna dan satu lagi (kehendak) pengeluar telur yang memang mengeluh mengenai harga makanan (ayam), sebab itu kita beri subsidi kepada penternak ini kerana hendak menyeimbangkan harga.

(Bagaimanapun) kita menggalakkan pengeluar jual semua jenis telur yang boleh semua orang guna, Omega tetap ada untuk yang mampu, tetapi telur yang gred biasa ini perlu diperbanyakkan,” jelasnya.

Mengenai gesaan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) agar kerajaan memastikan telur yang diimport dari India berkualiti dan tidak busuk, beliau berkata, perkara itu akan diteliti oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad berkata, isu melibatkan harga ayam dan telur sudah berlarutan selama dua tahun dan yakin dapat diselesaikan sekiranya nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) mengalami kenaikan tahun ini.

Jelas beliau, kenaikan nilai RM membolehkan harga makanan ayam yang diimport seperti jagung dan kacang soya dapat dibeli pada harga lebih murah berbanding sekarang.

“(Untuk makanan ayam) Jagung digunakan adalah jenis hijau yang diimport dari Brazil serta Argentina, dan sekarang kita sedang mengusahakan teknologi untuk menghasilkan sendiri jagung jenis itu.

“Untuk kacang soya, sehingga kini belum ada teknologi yang membolehkannya ditanam di Malaysia,” jelas beliau.

Terdahulu, pada program tersebut, Mohamad mengagihkan bantuan input peralatan akuakultur 2022 bernilai RM2.87 juta kepada 490 penternak di Perak dan RM210,000 lagi bagi Bantuan Insentif Peningkatan Kemudahan Biosekuriti Makanan.

Mohamad turut menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) berjumlah RM2.51 juta kepada 3,320 penerima di negeri ini serta RM265,661 menerusi Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) kepada 28 penerima yang terkesan akibat banjir.

Turut diagihkan ialah peruntukan RM174,520 di bawah program MAFS Prihatin sebagai menghargai sumbangan Ketua Jaringan Perikanan (KJP) sepanjang penggal 2021-2023.

Seramai 1,031 ahli menerima empat jenis peralatan keselamatan seperti vest keselamatan, peralatan perubatan kecemasan, lampu suluh kalis air dan topi.

Akhbar ini pada 12 Februari lalu  menyiarkan gesaan agar kerajaan menyalurkan segera subsidi kepada pengusaha ladang ayam dan telur bagi membantu mereka mendapatkan modal pusingan untuk mengembangkan operasi bagi memenuhi permintaan yang bertambah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini. 

Namun, pemberian subsidi itu pula tidak harus dijadikan  amalan yang berterusan kerana  itu langkah yang tidak mampan dan hanya bersifat ‘wang hangus’  semata-mata.

Satu sumber penternak ayam  telur berkata, antara mekanisme  yang perlu diperhalusi untuk membantu industri ternakan unggas itu  adalah melalui penubuhan lembaga unggas selain melantik syarikat  milik kerajaan (GLC) untuk terlibat  seratus-peratus dalam menghasilkan anak ayam day old chick (DOC) serta makanan dedak ayam.

UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya