PETALING JAYA: Penerbit Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara menafikan kenyataan seorang individu yang mendakwa tidak menerima bayaran RM150,000 atas peranan dan kerja yang dilakukannya untuk penggambaran filem tersebut.
Studio Kembara dalam satu kenyataan berkata, individu yang dikenali sebagai Zul Hassan itu bukan pemilik tanah set penggambaran filem tersebut, sebaliknya dia hanya memegang status pemilikan tanah itu selepas proses penggambaran selesai.
“Semua pembekal sudah dibayar atas segala khidmat dan tugas mereka. Dakwaan Studio Kembara ada berhutang sejumlah wang kepada Zul Hassan adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
“Individu tersebut hanya memegang status pemilikan tanah yang dijadikan set penggambaran pada 29 Julai 2019, sedangkan seluruh penggambaran filem telah selesai pada Februari 2019. Ini dapat dibuktikan melalui carian tanah di Kampung Padang Marhum, Lambor Kanan, Perak seperti didakwa.
“Studio Kembara tidak ada membuat apa-apa binaan untuk tujuan penggambaran filem di atas tanah yang didakwa miliknya. Dakwaan binaan dibuat atas tanah itu juga tidak benar kerana binaan berbentuk jeti dibuat di atas tanah rezab sungai,” katanya.
Dalam kenyataan bertulis itu juga, Studio Kembara menafikan tiada sebarang janji, kontrak, mahupun persetujuan pernah dimeterai bersama individu tersebut berkaitan sebarang kos dalam apa jua khidmat atau peranan termasuk penyediaan tapak, pembinaan set, keselamatan, penginapan atau apa-apa tugas sekalipun.
Malah, Studio Kembara juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zul Hassan kerana terdapat unsur penipuan dan dakwaan palsu yang telah mencemar nama baik
“Zul Hassan tidak mempunyai apa-apa asas untuk menuntut bayaran mahupun imbuhan. Pihak subkontraktor Studio Kembara ada memberi wang RM3,000 kepada individu tersebut sebagai kos sewa jeti kerana beranggapan dia adalah pemilik tanah tersebut yang kemudian disahkan tidak benar.
“Malah, semakan kami mendapati terdapat bayaran yang tidak sepatutnya dibayar kepada individu tersebut tetapi telah dibayar melalui subkontraktor Studio Kembara.
“Kami juga mengesahkan semua set atau lokasi penggambaran dibuat di atas tanah atau tempat telah dibenarkan oleh pemilik sah di sisi undang-undang,” katanya.