Status anak Najib bukan jaminan laluan mudah

Status anak Najib bukan jaminan laluan mudah

MOHAMMAD Nazifuddin Najib ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah, Bangunan Tunku di Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Status selaku anak kepada bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjamin laluan mudah buat Datuk Mohammad Nazifuddin untuk merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan kali ini.

Menurut individu berusia 39 tahun itu, beliau sedar kedudukannya yang tidak hadir dari ‘kilang’ Pemuda UMNO dan keadaan itu memerlukannya untuk berusaha keras bagi memperkenal diri kepada para perwakilan.

Namun katanya, beliau yakin keterbukaan dalam UMNO yang cuba dibawanya dengan parti itu wajar dilihat sebagai sentiasa menerima perubahan, selain mengutamakan sokongan anak muda dalam memacu kemajuan negara.

“Seperti ada kemungkinan untuk menang, saya juga ada kemungkinan untuk kalah tanpa mengira sama ada saya ini anak Najib atau tidak. Saya tahu saya bukan dari ‘kilang’ Pemuda tetapi kita kena berikan mesej bahawa Pemuda UMNO boleh berubah dan sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa saja bersama parti ini.

“Jadi saya kena kerja lebih kuat untuk dapatkan sokongan perwakilan. Saya nak berusaha sepenuhnya untuk pemilihan kali ini dan selepas itu, apa juga keputusan akan saya terima.

“Saya hormati proses pemilihan dan terima kasih kepada Perhubungan UMNO negeri-negeri yang memberi peluang untuk saya kenalkan diri kepada semua Perwakilan di seluruh negara kerana masih ramai belum pernah berjumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku, di sini, hari ini.

Mengulas langkahnya yang turut menawarkan diri memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Mohammad Nazifuddin yang lebih mesra dipanggil Nazif berkata, beliau tidak akan bertindak sedemikian sekiranya tidak mendapat sokongan daripada akar umbi.  

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, kebanyakan cawangan UMNO ditemuinya di Bahagian Langkawi memberikan reaksi positif terhadap langkah tersebut.

“Saya fikir daripada lebih 100 cawangan yang telah saya temui sebelum ini, mereka tampak memberi sokongan penuh. Sebab itulah saya tawarkan diri sebagai Ketua UMNO Bahagian Langkawi,” katanya.

Terdahulu ketika diberi peluang menyampaikan ucapan bagi memperkenalkan diri, Mohammad Nazif berkata, UMNO perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada anak muda untuk bersama-sama menyertai parti itu.

“Kita perlukan individu yang selaras dengan Ketua Pemuda akan datang untuk membantu melaksanakan tugas buat parti. Dalam masa sama, kita kena tahu yang parti ini perlu buka pintu seluas-luasnya kepada anak muda untuk sertai UMNO.

“Contohnya kalau nak jadi ahli, tak perlu ambil masa terlalu lama sampai seminggu atau sehari. Itu antara perubahan yang menjadi matlamat saya sekiranya terpilih nanti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya