IPOH: Perak FC dan peminatnya mampu menghela nafas lega kerana Stadium Perak di sini disahkan boleh digunakan untuk perlawanan sulung Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC malam esok.
Ini selepas kerja pembaikan kabel dan komponen lampu limpah yang dicuri, sudah siap diperbaiki .
Jaminan itu diberikan oleh Pengarah Kanan Teknikal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Khairul Anuar Lodin di sini semalam.
“Semua kerja pembaikan serta penggantian sistem lampu limpah Stadium Perak selesai dibaik pulih semalam.
“Kerja-kerja baik pulih melibatkan Ballast 2,000 Watt sebanyak 18 unit, dua teras kabel bersaiz 6 milimeter, empat teras kabel bersaiz 50mm dan mentol 2,000 Watt sebanyak 15 unit.
“MBI juga telah menjalankan ujian tahap pencahayaan lampu limpah bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan oleh MFL dan ujian menunjukkan berjaya mendapat tahap 1,200 lux,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam .
Sebelum ini, MBI mengesan berlaku kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak pada 14 Februari lalu selepas kejadian itu tular dalam media sosial.
Kejadian itu mengakibatkan MBI kerugian dianggarkan RM135,000 tetapi Khairul berkata, jumlah sebenar belum dapat dipastikan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri sebelum ini turut mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj berhubung insiden berkenaan namun siasatan berkenaan kejadian itu masih lagi diteruskan. – UTUSAN