Stadium Batu Kawan atau Bandaraya? Belum ada 'kata putus' - Penang FC - Utusan Malaysia

Stadium Batu Kawan atau Bandaraya? Belum ada ‘kata putus’ – Penang FC

JEFFREY CHEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Keputusan sama ada Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan atau Stadium Bandaraya di sini akan dipilih sebagai gelanggang utama Penang FC musim ini hanya akan dimuktamadkan seminggu sebelum tirai saingan Liga Super dibuka.

Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew berkata, memandangkan aksi pertama skuad Harimau Kumbang di tempat sendiri hanya akan berlangsung pada 1 Mac depan, masih ada kurang sebulan untuk ‘kata putus’ itu dibuat.

“Apapun keputusannya, saya percaya Penang FC sudah bersedia untuk beraksi di kedua-dua lokasi. Tak kisah di mana (sama ada di Batu Kawan atau Stadium Bandaraya).

“Dulu, memang kita waswas untuk main di Stadium Negeri Batu Kawan kerana padang ketika itu tidak begitu sesuai. Tapi sekarang, apabila kita tengok keadaan semasa termasuk ketika hujan dan sebagainya, ia memberi kelebihan. Jadi, kita perlu membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan bersama sekumpulan wartawan sukan di negeri ini yang dihoskan tokoh korporat tempatan, Datuk Steven Lim.

Ditanya sama ada aksi musim ini akan berlangsung secara selang-seli di kedua-dua stadium atau sebaliknya, Jeffrey bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang kepastian buat masa ini.

“Apapun, kita tidak akan ganggu ‘flow’ (jadual yang ditetapkan). Sekiranya kita kata Stadium Bandaraya, maka beberapa perlawanan akan berlangsung di sana.

“Namun, sekiranya ada ‘big game’ (perlawanan tumpuan), mungkin kita akan umum lebih awal beraksi di mana. Bukan esok ‘game’, hari ini baru kita umum,” katanya.

Tambahnya, beliau melihat Stadium Negeri Pulau Pinang ketika ini memiliki kelebihan untuk menarik kehadiran lebih ramai penyokong lawan disebabkan saiz yang lebih besar selain mudah untuk diakses berbanding Stadium Bandaraya.

Tambah beliau, walaupun keputusan akhir akan dibuat oleh Penang FC sendiri, namun perlu mendapat persetujuan pengelola Liga Malaysia iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas meneliti beberapa faktor berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Jeffrey memberitahu, beliau sependapat dengan pengendali pasukan, Manzoor Azwira Abd. Wahid yang mana Penang FC memerlukan masa untuk membentuk lebih keserasian antara pemain musim ini.

“Musim lepas kita ada sedikit masalah. Pemain import masuk lambat, pemain ‘local’ (tempatan) pula tak begitu serasi dan sebagainya.

“Jadi, peluang untuk bermain dalam dua lagi aksi persahabatan selepas ini (termasuk menentang Negeri Sembilan di Stadium Bandaraya Sabtu ini) penting untuk kita membuat penilaian,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya