ST12, Charly rai dua dekad persahabatan di Axiata Arena - Utusan Malaysia

ST12, Charly rai dua dekad persahabatan di Axiata Arena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rindu peminat untuk menyaksikan persembahan kumpulan terkenal Indonesia, ST12 secara langsung bakal terubat menerusi Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac ini.

Konsert tersebut akan menyatukan formasi awal band berkenaan, termasuk Charly Van Houten dan Pepeng sempena meraikan perjalanan dua dekad ST12 dalam dunia hiburan nusantara.

“Konsert ini sangat bermakna kerana tidak sekadar meraikan 20 tahun Charly berkarya dalam industri muzik, sebaliknya turut menyaksikan ST12 kembali bersatu di pentas yang sama di negara tetangga.

“Umum mengetahui, langkah Charly bermula pada titik yang sama dengan ST12. Justeru, konsert itu bakal mencipta sejarah tersendiri dengan menyatukan semula formasi awal ST12 untuk meraikan dua dekad perjalanan kami.

“Konsert ini juga mencerminkan kedewasaan dan kematangan ST12 dalam memenuhi keinginan penggemar. Ia membuktikan keterbukaan kami dalam meraikan perbezaan, pada masa tetap bersatu mengukuhkan industri muzik,” kata Pepep.

Sepanjang penubuhannya, ST12 pernah melahirkan album seperti Jalan Terbaik (2005), P.U.S.P.A. (2008), P.U.S.P.A. Repackage (2009), Pangeran Cinta (2010), Lentera Hati (2013), Terjemahan Hati (2014) dan Hijrah Cinta (2017).

Pada masa yang sama, konsert itu nanti turut dimeriahkan dengan barisan artis popular seperti Firman Siagian, Jaclyn Victor, Ezad Lazim dan Restu.

“Alhamdulillah, kami berbangga apabila usaha kami ini direstui peminat. Melihat sokongan yang diberikan, terutama selepas dimaklumkan tiket untuk beberapa kategori telah habis ditempah, ST12 yakin objektif yang dibawakan konsert ini akan terlaksana.

“Sudah pasti kami mengharapkan lebih ramai peminat dapat hadir bersama pada konsert itu nanti. Banyak lagu istimewa yang akan kami tampilkan dan tentunya, ia akan menjadi malam terindah untuk dikenang semua,” katanya lagi.

Tiket Konsert ST12 Reunion/20 Tahun Charly Berkarya berharga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh diperoleh menerusi laman web: www.ticket2u.com.my.

Dalam pada itu, Firman pula menyifatkan, doa dan penantian panjangnya untuk bertemu peminat terjawab apabila dia menerima undangan untuk beraksi pada Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya.

“Saya melihat konsert ini sebagai jambatan untuk kembali mendekati peminat. Sebagai pengkarya, sudah tentu saya sentiasa menyimpan keinginan untuk menghiburkan peminat tidak kira di mana sahaja mereka berada.

“Tentunya harapan besar saya adalah untuk melunaskan kerinduan terhadap peminat di Malaysia, membuatkan saya berazam untuk tampil optimal pada konsert itu nanti,” katanya.

Mengimbau perjalanannya bersama kumpulan ST12, Firman berkata, kerjasama mereka tercetus apabila dia diundang sebagai vokalis pada 2019.

Pemilihan Firman dilihat tepat, apatah lagi penyanyi itu turut memperjuangkan muzik pop Melayu, sekali gus menyatukan visi dan misi dalam membentuk warna karakter yang sudah menjadi ciri khas ST12 selama ini.

Sempat tampil bersama single, Kepingan Hati, Firman berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk meletakkan dirinya dalam kumpulan yang memiliki karakter yang cukup kuat.

“Untuk memberikan sedikit perbezaan, saya menyuntik sedikit sentuhan rock, tetapi asas muzik ST12 yang ada pengaruh Melayu tetap dikekalkan. Sudah tentu saya berbangga apabila diberi kepercayaan untuk menjadi vokalis band pop Melayu yang besar di Indonesia.

“Apabila diundang untuk bersama dalam konsert ini, saya terharu. Sebagai pemuzik, setiap kami berpegang kepada satu tujuan iaitu melakukannya seikhlas hati untuk peminat dan semua yang terlibat.

“Kejujuran itu yang saya pegang dan pastinya, saya akan tampil optimum untuk memuaskan hati peminat yang sudah lama menanti kami kembali beraksi di Kuala Lumpur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya