Sorok bubu naga dalam tong ais terpakai - Utusan Malaysia

Sorok bubu naga dalam tong ais terpakai

Bubu naga
ANTARA bubu naga yang ditemui dalam tong ais terpakai di jeti sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Taktik pengusaha bubu naga menyembunyikan peralatan haram itu dalam timbunan tong ais terpakai dibongkar pihak berkuasa di kawasan jeti sekitar daerah ini dan Sabak Bernam, hari ini.

Helah itu dikesan dalam satu operasi khas dilakukan Jabatan Perikanan Selangor di 18 premis yang diperiksa selama empat jam bermula kira-kira pukul 10 pagi dan membawa kepada rampasan sebanyak 715 unit bubu naga yang dianggarkan bernilai RM42,900.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya menyasarkan beberapa jeti nelayan yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan bubu berkenaan.

“Operasi itu antaranya melibatkan kawasan jeti Bagan Tengkorak, Kuala Selangor dan Sungai Besar, Sabak Bernam.

“Hasil pemeriksaan termasuk melibatkan kawasan rumah menemui 26 tong berisi ratusan bubu naga tersebut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, kesemua bubu yang memberi kesan negatif kepada ekosistem laut itu dirampas bagi tindakan lanjut dan operasi penguatkuasaan itu akan dijalankan berterusan bagi membanteras kegiatan tersebut.

“Bubu itu digunakan oleh sampan berenjin dan dipasang pada kedudukan antara satu hingga empat batu nautika dari pantai. Penggunaan peralatan itu didakwa lebih jimat oleh segelitir pihak namun memusnahkan benih, anak ikan dan sumber perikanan.

“Mana-mana pihak yang didapati menggunakan bubu itu boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Ia merupakan kesalahan menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya