SEPANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) tidak ada masalah dikerah ke Turkiye kerana mereka pernah terlibat dalam misi di negara itu pada 1999 lalu.
Keyakinan tersebut disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali yang memberitahu, sejak Smart ditubuhkan kerajaan pada 1997, mereka sudah terlibat dalam 12 misi mencari dan menyelamat (SAR) di luar negara.
Terdahulu, beliau menyantuni 75 anggota Smart yang tiba di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebelum berlepas pukul 12 tengah malam ini dengan menaiki pesawat komersial, Turkish Airlines penerbangan TK61 yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.
Dari bandar raya terbesar Turkiye itu, mereka akan menempuh perjalanan sejauh 1,150 kilometer lagi atau 12 jam berkereta ke lokasi gempa yang agak berhampiran Gaziantep.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, selain kumpulan Smart, turut akan dihantar secara berperingkat ialah empat pegawai dari Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia, anggota dari Unit Hazardous Material Team (Hazmat) dan anjing pengesan atau K9 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau optimis pasukan Smart kali ini bersedia untuk misi ke-13 di luar negara meskipun digerakkan dalam masa singkat atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 1999 lalu, kumpulan itu pernah dikerah ke Izmit dekat Laut Marmara apabila gempa berkekuatan 7.6 skala Magnitud melanda dan mengorbankan 17,127 orang di Turkiye.
Menyentuh tawaran pelbagai badan sukarela untuk terlibat dalam misi ke negara itu, beliau mengalu-alukan penyertaan mereka namun segala gerak kerja diselaraskan Nadma yang bekerja rapat dengan pihak kerajaan Turkiye dan Wisma Putra. – UTUSAN