LIPIS: Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar ini semakin dimamah usia apabila bangunannya sudah uzur dan perlu dibina baharu untuk keselesaan murid belajar dan guru bertugas.
Antara dilaporkan penduduk di situ adalah keadaan bilik yang berdindingkan papan dibina pada 1952 sangat uzur dan silingnya sudah dimamah oleh anai-anai.
Ketidaksempurnaan itu juga mengundang murid tidak selesa mengikuti pembelajaran seperti ketiadaan bilik khas untuk pusat sumber, bilik muzik, bilik rawatan kesihatan, bilik mesyuarat guru, stor sukan dan beberapa ruang lain berikutan kekurangan bilik.
Difahamkan, guru di sekolah itu tidak mempunyai bilik khas untuk berehat, menyimpan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seperti buku, komputer peribadi serta membuat penugasan menyemak buku atau kertas latihan murid sebelum masuk semula ke kelas mengikut jadual tugasan masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk yang cuma mahu dikenali sebagai Kasimi berkata, sepatutnya pihak berwajib sudah lama mengenal pasti premis sekolah itu yang uzur serta kemudahan tertentu untuk dibaik pulih atau dibina bangunan baharu.
“Saya berasa hairan kenapa keadaan ini berlaku sejak sekian lama sedangkan guru, kakitangan dan murid perlukan kemudahan yang selesa untuk belajar berasaskan konsep sekolah selamat dan pendidikan madani,” katanya di sini semalam.
Kasimi berkata, SK Limau Purut sebelum ini antara sekolah yang terkenal di Lipis kerana banyak melahirkan tokoh dalam pelbagai bidang pendidikan dan agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan.
Malah, katanya, ramai anak kampung tersebut dan berdekatan yang pernah belajar di situ menjawat tugas profesional peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk sektor swasta.
Dalam pada itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Temetong yang mahu dikenali Sud berharap pihak berwajib menyegerakan pembinaan premis yang lengkap bagi menggantikan yang lama termasuk mempunyai kemudahan pusat sumber, bilik guru dan beberapa inisiatif pembelajaran tertentu seperti sekolah di bandar.
“Saya kasihan melihat murid belajar dalam bangunan daif termasuk kantin yang perlu diberi perhatian pihak berwajib secepat mungkin selepas ini dengan memberikan keutamaan menaik taraf sekolah ini,” katanya.
Menurutnya, ramai kalangan anak Orang Asli Temetong belajar dan lahir sebagai insan yang boleh membaca, menulis dan mengira di sekolah itu di bangunan lama sebelum ini tanpa kelengkapan kemudahan aktiviti akademik dan kokurikulum.
Jelasnya, walaupun ibu bapa dan pelawat yang datang melihat keindahan serta keceriaan sekolah itu menerusi hiasan warna-warni dengan cat di bangunan lama serta tanaman bunga, di sebaliknya kebanyakan bilik sekolah itu agak uzur dan tidak sesuai lagi untuk pembelajaran berteraskan pendidikan madani dalam era moden. – UTUSAN