Sikap tolak ansur Majlis Gereja subur keharmonian pelbagai kaum

Sikap tolak ansur Majlis Gereja subur keharmonian pelbagai kaum

TUAN KAMARUL ARIEF TUAN SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menghargai kepekaan Majlis Gereja Malaysia (CCM) yang secara umum mengalu-alukan tindakan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengeluarkan fatwa melarang umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, sikap prihatin dan bertolak ansur yang ditunjukkan itu bakal menyuburkan keharmonian dan hubungan sesama kaum di negara ini.

Menurutnya, ia juga bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

“Sebagai sebuah agensi dakwah di negara ini, Yadim sentiasa komited untuk menganjurkan dialog silang budaya dengan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini bagi mengangkat agenda taaruf yang akan menghilangkan salah faham dan mempromosikan keharmonian antara agama, bangsa dan budaya.

“Buktinya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Yadim komited meraikannya di seluruh negara dengan pengisian ilmu, kebudayaan dan kebajikan.

“Kita yakin dengan wujudnya organisasi yang matang dan rasional seperti CCM, budaya dialog dan program keharmonian akan semakin subur di Malaysia dan Yadim akan mempergiat lagi usaha ke arah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendirian Setiausaha Agung CCM, Jonathan Jesudas semalam yang menyatakan fatwa MAINJ adalah panduan yang baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk orang bukan Islam bagi lebih memahami had ditetapkan oleh undang-undang Islam adalah sesuatu yang baik dan wajar dipuji.

Jelasnya lagi, Yadim gembira apabila semakin banyak organisasi masyarakat sivil mula mengambil tanggungjawab dan peranan dalam mewujudkan keharmonian dalam negara serta tidak terikut-ikut dengan budaya pelampauan yang wujud di seluruh dunia seperti Islamofobia atau budaya takfiri yang sangat jelas berbahaya.

“Sikap toleransi dan saling mengambil peduli terhadap sensitiviti antara agama ini sememangnya selaras dengan ajaran Islam yang jelas sangat melarang umatnya dari melakukan sebarang bentuk penghinaan kepada sembahan agama lain seperti yang termaktub dalam Surah Al-Ana’am ayat 108.

“Yadim yakin Malaysia Madani hanya dapat direalisasikan sekiranya setiap warga watan ini lebih mahu mengambil tanggungjawab bersama yang perlu dimainkan berbanding membesar-besarkan perbezaan yang secara fitrah telah sedia wujud. Setiap perbezaan wajar digarap untuk membina kekuatan dan bukannya mencarik perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya