Shafie Apdal bertegas tiga ADUN Warisan dibeli GRS

Shafie Apdal bertegas tiga ADUN Warisan dibeli GRS

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) tetap dengan pendiriannya bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang keluar parti dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana ‘dibeli’ oleh gabungan politik itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau mempunyai bukti yang wakil rakyatnya dihubungi GRS yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Semasa Perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat siang tadi, Mohd. Shafie berkata, beliau mempunyai video dengan apa yang dikata sebagai ADUNnya ‘telah dihubungi’ oleh pihak tertentu.

Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna meneruskan dakwaan bahawa ADUN berkenaan diberi projek bernilai RM3 juta.

Bangkit menafikan dakwaan itu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) menuntut supaya Mohd. Shafie menolak semula dakwaannya kerana kenyataan itu disifatkan tidak berasas selagi beliau tidak menunjukkan bukti-bukti kukuh.

Mohd. Shafie: ADUN Kunak, dia ditelefon… ini dia cakap, bukan saya yang cakap yang telah menyatakan dia telah dihubungi.

Su Fui: Kalau ada bukti, bawa ke mahkamah, jangan mahu fitnah di sini (Parlimen).

Mohd. Shafie: Penguatkuasa yang ada, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jabatan-jabatan lain siasatlah. Benarkah atau tidak? Itu bukan tanggungjawab saya untuk siasat.

Su Fui: Jadi janganlah buat fitnah di Dewan yang mulia ini. Ini fitnah yang teruk.

Warisan kembali goyah apabila tiga ADUNnya mengumumkan keluar daripada parti itu, pada 6 Februari lalu. Tiga ADUN berkenaan ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Norazlinah berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segenap sudut serta hala tuju perjuangan parti Warisan termasuk pandangan akar umbi di kawasan DUN yang diwakili.

Ironinya, Norazlinah sebelum itu pernah menafikan keluar parti selepas ada desas-desus mengaitkan namanya antara enam ADUN Warisan yang didakwa akan keluar parti.

Sebelum ini, enam ADUN Warisan bertindak keluar dari parti dan menyertai parti lain iaitu Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan).

Sementara itu, Su Fui membangkitkan isu dua bekas ADUN daripada DAP yang menyertai Warisan tahun lalu jika benar mereka juga ‘dibeli’ untuk menyertai Warisan.

Wakil rakyat berkenaan merujuk kepada ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yun Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun yang menyertai Warisan pada Mac tahun lalu. Kedua-duanya mengumumkan keluar DAP pada Januari 2022.

Bagaimanapun, ketika mempersoal mengenai dua ADUN berkenaan jika ‘dibeli’ atau tidak setelah keluar daripada DAP, Mohd. Shafie tidak menjawab secara langsung, sebaliknya, hanya merujuk kepada calon itu ditawarkan ‘imbuhan’ ketika sebelum bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya tidak pernah beli ADUN, yang DAP dua orang ini, mereka guna tiket Warisan dalam pilihan raya lalu (PRU15), selepas itu ada imbuhan. Jadi, ADUN ini nyatakan pada saya daripada mereka masuk Perikatan Nasional (PN), bagus masuk Warisan. Saya nyatakan, tidak apa, saya tiada duit, tiada jawatan. Kita bukan tawar,” kata Mohd. Shafie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya