KLANG: Kesepakatan enam negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) disifatkan positif dan menjadi tanda kebersamaan biarpun berbeza fahaman politik.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu secara dasarnya terserah kepada kepimpinan negeri sama ada Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dilihat berjaya menyelaraskan tarikh pilihan raya secara bersama.
“Ia sesuatu yang positif dan menunjukkan bahawa semua Menteri Besar dan Ketua Menteri duduk bersama meskipun ada perbezaan politik di kalangan parti dan kerajaan negeri.
“Saya bersetuju tarikh PRN itu perlu diselaraskan dan mesti diadakan secara serentak,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat bubar DUN masing-masing pada Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan enam mata antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kesemua pemimpin negeri itu sepakat untuk membubarkan dun dalam dua minggu terakhir Jun dalam pertemuan tersebut sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu semalam.
Jelas Siew Fook, pembubaran DUN yang dicadangkan pada tarikh sama turut akan memudahkan penyelarasan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Tarikh PRN itu terpulang kepada SPR dan yang penting enam negeri kena membubarkan DUN dalam kadar masa lebih kurang sama atau lebih baik pada hari sama.
“Ia sudah tentu memudahkan SPR untuk menentukan penamaan calon dan tarikh pengundian kelak sekaligus menjimatkan tenaga serta kos,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi DAP dengan UMNO dan Amanah terutama di Pulau Pinang, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan setakat ini.
“Berkaitan pembahagian kerusi, itu belum lagi. Belum sampai masanya,” katanya. – UTUSAN