PETALING JAYA: Seorang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Blok D, Flora Damansara di sini malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.13 malam.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, sebanyak lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Kota Anggerik, BBP Sungai Buloh, BBP Seksyen 7 dan BBP Puchong dengan kekuatan 25 anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 9.22 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah flat di tingkat 21, Flora Damansara terbakar hampir 90 peratus.
“Setakat ini seorang mangsa dilaporkan rentung dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, setakat pukul 10 malam tadi, api dapat dikawal dan pasukan bomba sedang melakukan pemadaman sepenuhnya.- UTUSAN