Seludup petrol subsidi: Kenderaan asing mula beralih ke Kedah, Kelantan - Utusan Malaysia

Seludup petrol subsidi: Kenderaan asing mula beralih ke Kedah, Kelantan

SALAHUDDIN Ayub (dua dari kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Projek Rintis Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi Di Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kenderaan bernombor pendaftaran asing yang giat melakukan aktiviti penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi di negeri ini mula beralih ke kawasan sempadan Kedah dan Kelantan bagi menjalankan kegiatan itu.

Pendekatan terbaharu itu dilakukan pihak terlibat selepas kerajaan mula memperkenalkan Projek Rintis Pembekalan Minyak Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi Di Negeri Perlis bermula 1 Februari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mendapati maklumat risikan dalaman berhubung modus operandi terbaharu itu yang digunakan pihak terlibat bagi mengaburi mata pihak berkuasa dalam menjalankan kegiatan berkenaan.

“Disebabkan itu saya akan sediakan nota percakapan bagi cadangkan kepada kerajaan agar model projek rintis di Perlis ini dapat digunakan di kawasan sempadan lain sewaktu mesyuarat kabinet akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Rintis Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi Di Perlis di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing di seluruh Perlis bermula 1 Februari lalu sebagai usaha bagi menangani kegiatan penyeludupan bahan bakar itu ke negara jiran.

KPDN turut melakukan advokasi ke atas 40 pengusaha stesen minyak termasuk stesen minyak tanpa subsidi bermula pada 27 Januari lalu bagi menjayakan pelaksanaan projek rintis berkenaan.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, KPDN menganggarkan ketirisan bahan bakar subsidi yang diseludup ke negara jiran berjumlah sekitar RM150 juta setahun.

“Pendekatan yang digunakan kerajaan kini dengan mengapungkan harga petrol dan diesel tanpa subsidi untuk kenderaan bernombor pendaftaran asing dapat membantu penguatkuasa mengawal isu ketirisan daripada berterusan.

“Walaupun harga diapungkan, namun caj bayaran petrol dan diesel dikenakan itu masih murah jika dibandingkan dengan kadar ditetapkan negara-negara jiran lain,” katanya.

Di samping itu, Salahuddin berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai pemain industri akan terlibat dalam projek rintis itu selepas ini bagi mendirikan lebih banyak stesen-stesen minyak tanpa subsidi di kawasan sempadan negara.

Tambahnya, aspek penguatkuasaan juga akan berjalan seperti biasa bagi memastikan ketirisan bahan bakar subsidi itu tidak lagi berterusan di Malaysia.

“Pelaksanaan inisiatif ini amat praktikal dan saya rasakan pendekatan ini akan membuahkan hasil bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya