IPOH: Selepas dua tahun Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini ‘lengang’ ekoran pandemik Covid-19, hari ini kuil yang terletak di kawasan batu kapur itu kembali meriah dengan kehadiran ribuan penganut beragama Hindu.
Kehadiran mereka di kuil berusia lebih 100 tahun seawal pukul 7 pagi itu bagi menyambut perayaan Thaipusam yang diadakan sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan.
Selain menyertai kemeriahan sambutan, sebahagian besar penganut Hindu yang hadir turut menunaikan nazar dan menebus dosa.
Sambutan perayaan itu juga bukan sahaja menarik kehadiran masyarakat tempatan malah pelancong asing yang rata-rata teruja menyaksikan perayaan itu secara langsung.
Bagi pelancong dari Kanada, Gregory Papineau, 41, dia gembira menyaksikan perayaan itu yang disifatkannya sebagai unik dan penuh warna-warni.
Katanya, dia yang pertama kali datang ke Ipoh tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai orang ramai walaupun cuaca panas terik.
“Perayaan ini sangat mengagumkan. Saya juga teruja untuk merasai makanan yang dijual di gerai-gerai di sini. Sebelum ini saya pernah ke Batu Caves tapi bukan ketika Thaipusam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Juliette Baudot, 24, dari Perancis berkata, dia yang pertama kali melancong ke negara ini mengakui tidak pernah mengetahui terdapat perayaan yang disambut seperti sebuah festival.
“Saya cari di internet mengenai perayaan ini, ia sangat cantik dan penuh warna. Ini pengalaman pertama yang menarik bagi saya,” katanya yang datang ke negara ini bersama rakan, Hugo Doucet, 23.
Pada sambutan itu juga, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri yang hadir turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung.
Menurut Mohd. Yusri, dijangkakan lebih 85,000 penganut beragama Hindu dan pengunjung hadir ke kuil berkenaan sepanjang lima hari sambutan perayaan tersebut.
Katanya, pada hari ini sahaja, kira-kira 25,000 pengunjung hadir dan keadaan di sekitar kuil terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Seramai 500 anggota ditugaskan untuk memantau dan mengawal keselamatan serta lalu lintas di beberapa lokasi sambutan itu di negeri ini.
“Setakat ini keadaan selamat dan terkawal. Selain menjalankan rondaan, kita juga menempatkan balai polis bergerak di kuil tertentu bagi menjaga keselamatan pengunjung.
“Terima kasih juga kepada orang ramai yang bersama-sama membantu pihak polis bagi menjaga keamanan sepanjang sambutan Thaipusam ini berlangsung,” katanya. – UTUSAN