PARIS: Penyanyi terkenal Maghribi, Saad Lamjarred, dijatuhkan hukuman enam tahun penjara selepas terbukti bersalah merogol dan memukul seorang wanita tempatan pada 2016.
Portal Middleeasteye melaporkan, keputusan tersebut dimuktamadkan The Paris Assize Court, semalam selepas penilaian akhir selama enam jam.
Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap untuk segera menahan penyanyi tersebut.
Peguam Saad, Thierry Herzog, memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan anak guammya sebelum memutuskan sama ada mahu memfailkan rayuan atau tidak.
Pada 2016, Saad ditahan pihak berkuasa selepas dilaporkan merogol dan mencederakan wanita yang dikenali sebagai Laura P.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 37 tahun itu dibebaskan enam bulan kemudian dan diletakkan di bawah pengawasan polis.
Saad turut menerima bantuan Raja Maghribi, Mohammed VI sebelum ini untuk melangsaikan kos guamannya.
Dalam perkembangan lain, Saad turut berdepan kemungkinan akan dibicarakan berkaitan kesalahan sama yang dilakukannya terhadap seorang wanita di Saint Tropez, beberapa tahun lalu.
Saad bagaimanapun, menafikan semua tuduhan tersebut.