RUU kesalahan menghendap ditambah baik sebelum dibentang semula

RUU kesalahan menghendap ditambah baik sebelum dibentang semula

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 berhubung kesalahan menghendap (stalking) akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Ramkarpal Singh berkata, ia tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

Menurut beliau, satu memorandum berhubung RUU berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat.

“Kerajaan Perpaduan tetap komited dalam usaha mewujudkan undang-undang berhubung kesalahan menghendap.

“Sejak Januari lalu, saya mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Women’s Aid Organisation dan Badan Peguam Malaysia bagi meneliti semula peruntukan kedua-dua RUU tersebut dan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.

“Hasil daripada kesemua sesi libat urus tersebut, saya mencadangkan penambahbaikan kepada draf RUU tersebut bagi memastikan penekanan diberikan kepada kesalahan ini secara holistik dan merangkumi semua aspek perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata, kedua-dua RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos tahun lalu dengan bacaan kali kedua dan ketiga pada 3 Oktober seterusnya diluluskan setelah mendapat undi lebih suara daripada seramai 192 ahli Dewan Rakyat yang hadir.

“Namun, berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, RUU ini tidak dapat dibentangkan di Dewan Negara pada sidang Parlimen yang sama dan perlu dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang akan datang,” ujarnya.

Pada 4 Ogos tahun lalu, pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dibuat bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah dibentang untuk kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

RUU itu juga menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya