MELAKA: Populasi babi hutan di sekitar Tanjung Kling khususnya di Kampung Kelongkong di sini kembali meningkat, selepas usaha menghapuskan haiwan perosak itu di sekitar penempatan penduduk tahun lalu didakwa tidak berjaya.
Kampung berkenaan pernah berdepan masalah serangan babi hutan yang serius pada Januari tahun lalu sehingga mengancam keselamatan orang ramai.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Sidang Kariah Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah mengambil tindakan segera dengan melupuskan haiwan berkenaan, tetapi beberapa ekor daripadanya terlepas dan mula membiak.
Menurutnya, kelibat mamalia berkenaan tidak lagi dilihat sekerap dahulu, tetapi perkongsian gambar dalam kumpulan WhatsApp penduduk setempat memberi gambaran bahawa ia masih ada dan semakin bertambah.
“Haiwan ini sering dilihat di belakang rumah menyelongkar tong sampah mencari sisa makanan. Biasanya babi hutan akan keluar pada waktu pagi dan petang.
“Justeru, timbul semula kerisauan dalam kalangan penduduk terhadap keselamatan kerana sifat haiwan itu yang suka menyondol dan merosakkan tanaman. Pernah berlaku insiden babi hutan merosakkan tanaman dan kanak-kanak nyaris dikejar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, kawasan tanah terbiar yang banyak di Melaka dikenal pasti menjadi antara punca populasi babi hutan terus meningkat saban tahun.
Sejak 2021 sehingga Januari tahun ini, Perhilitan telah menghapuskan sebanyak 1,287 ekor babi hutan atau secara purata, kira-kira 51 ekor ditembak pada setiap bulan di Melaka.
Tambah Aziz, usaha melupuskan babi hutan di kawasan penduduk dilaksanakan secara berterusan melalui perkongsian lokasi penampakan haiwan itu kepada Perhilitan.
Katanya, sangkar turut digunakan untuk memerangkapnya, namun kaedah tersebut tidak lagi berhasil kerana haiwan itu bergerak ke kampung-kampung berdekatan.
“Sukar untuk menjangkakan pergerakan babi hutan kerana akan pergi ke kawasan yang mempunyai sisa makanan. Apabila Perhilitan datang melakukan operasi, kelibatnya sudah tiada.
“Saya mohon Perhilitan untuk memberi tumpuan operasi yang lebih di lokasi-lokasi yang dikesan penduduk termasuk di kawasan hutan. Kalau tunggu panggilan penduduk baru datang, saya yakin babi hutan pun sudah pergi jauh,” jelasnya. – UTUSAN