Rezeki ayam kampung kacuk - Utusan Malaysia

Rezeki ayam kampung kacuk

MOHD. Zamri Sharief (kanan), Abdullah Sa’adon (tengah) dan Faizal Ahmad Shafii menunjukkan ayam kampung kacuk matang di salah satu daripada lima ladang ternak di Kampung Gubah, Asahan, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Biarpun bekerja sebagai akauntan dengan sebuah syarikat koperasi di Kuala Lumpur dibayar gaji besar, ia tidak menghalang seorang lelaki menceburi ternakan ayam kampung kacuk di Kampung Gubah, Asahan dekat sini.

Bagi Mohd. Zamri Sharief, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Hull, United Kingdom (UK), dia tidak menyesal berhenti kerja serta menubuhkan Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad atau lebih dikenali sebagai KOP-Khas.

Dia yang juga Setiausaha KOP-Khas berkata, koperasi yang ditubuhkan atas nama arwah bapanya dianggotai tujuh beradik, bapa saudara, ipar, menantu dan anak saudara seramai 28 ahli terlibat sepenuhnya dalam projek penternakan ayam kampung kacuk.

“Keputusan saya berhenti kerja sebagai akauntan adalah tepat. Sejak penubuhan KOP-Khas serta meneroka bidang penternakan ayam kampung kacuk, ia sesuatu bidang komersial yang tepat.

“Begitu juga abang sepupu, Faizal Ahmad Shafii (Pengerusi) ambil keputusan berhenti jadi kontraktor dan bapa saudara, Abdullah Sa’adon (Timbalan) sanggup tutup bengkel kereta semata-mata mahu tumpu bidang ini.

“Keputusan kami tepat dan sejak ladang ternakan ayam kampung kacuk beroperasi di kawasan seluas 1.4 ekar, 2 November 2020, dari 14,000 ekor kini berjaya menternak 25,000 ekor untuk satu pusingan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, mereka kini mempunyai lima ladang ternakan dengan kapasiti satu ladang sebanyak 6,000 ekor mengikut saiz antara 1.2 hingga 1.4 kilogram (kg), 1.5 hingga 1.8kg dan 1.9kg ke atas.

Kataya, setakat ini ayam kacuk yang diusahakan mendapat sambutan daripada pelbagai pihak sehingga tidak mampu menampung permintaan yang me­ningkat setiap bulan.

Jelasnya, sehingga kini pengeluaran ayam hidup matang di ladang ternakan sedia ada berjumlah 84,600 ekor.

“Dari segi prestasi tahun kewangan dan keuntungan untuk aktiviti penternakan berakhir 31 Mei tahun lalu meningkat seba­nyak RM82,864.56 berbanding RM47,846.56 pada 31 Mei 2021,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya