BUTTERWORTH: Sebuah restoran makanan laut di Pantai Bersih, Bagan Ajam di sini tular di Facebook selepas seorang individu dipercayai pemiliknya mendakwa mengalami kerugian besar gara-gara pelanggan yang makan di situ tidak membuat pembayaran.
Status asal dalam Bahasa Mandarin itu mendapat sekurang-kurangnya 1,200 perkongsian dengan sebahagian daripada netizen yang melihat perkongsian tersebut berasa marah, terkejut dan sedih.
Status yang sama kemudian dikongsi serta dialih bahasa oleh sebuah portal lain dalam Bahasa Melayu dan mendapat sekurang-kurangnya 72 perkongsian lagi.
Status tersebut antara lain menyebut: “Pelanggan di meja 11, meja 5 dan meja 34, sekiranya anda terlupa untuk membayar bil anda, dan apabila anda ingat, sila mai bayaq (datang bayar) la kat kami. 3 meja rugi banyak hanya dalam sehari”.
Menurut individu yang memuat naik status berkenaan, sama ada disengajakan atau tidak, restoran tersebut mengalami kerugian hingga mencecah RM723 sehari gara-gara makanan yang tidak dibayar itu.
Dalam pada itu, kebanyakan netizen simpati dengan nasib yang menimpa pemilik restoran berkenaan dan hairan bagaimana pelanggan tersebut dibenarkan menikmati juadah sebelum membayarnya.
Ada juga dalam kalangan mereka yang menganggap status asal yang dimuat naik itu tidak lebih daripada teknik pemasaran sahaja untuk menarik kehadiran lebih pengunjung ke restoran berkenaan. – UTUSAN